January 16, 2012
KUALA LUMPUR, 16 Jan — Ahli Parlimen Ipoh Timor, Lim Kit Siang hari ini menegaskan, tindakan kerajaan membekukan aset Pusat Fidlot Nasional (NFC) adalah satu tindakan sia-sia kecuali jika gaji bulanan keluarga Shahrizat dipotong kepada dua pertiga daripada RM215,000 kepada RM71,000.
Lim dalam kenyataannya hari ini berkata, pengumuman Pengarah Eksekutif NFC, Wan Shahinur Izmir Salleh bahawa pembekuan aset syarikat berkenaan tidak mengganggu perjalanan syarikat adalah satu tindakan yang mengecewakan kerana menunjukkan tindakan pembekuan tersebut adalah seperti satu tindakan yang sia-sia.
“Perkara itu mengecewakan rakyat Malaysia, dan mereka tertanya-tanya sama ada “pembekuan sementara” aset-aset NFC hanyalah satu kepura-puraan kerajaan untuk meredakan ketegangan penduduk Malaysia yang ingin tahu berkenaan projek tersebut.
“Siapa bekukan aset NFC? Bila aset berkenaan dibekukan? dan siapa yang berkuasa untuk membebaskan aset berkenaan?” soal Kit Siang dalam kenyataan tersebut.
Menurutnya, perkara pokok adalah berapa nilai sebenar aset NFC yang telah dibekukan, kerana rakyat Malaysia tidak akan terkejut sekiranya NFC tidak lagi mempunyai sumber kewangan ekoran penyelewengan yang berlaku dalam projek tersebut yang bermatlamat untuk menghasilkan projek ternakan lembu berimpak tinggi itu.
“Boleh Najib jelaskan dengan teliti berapa lama tempoh pembekuan aset tersebut-oleh siapa, bila, bagaimana, dan aset apa yang telah dibekukan beserta jumlahnya?” tambahnya.
“Bila Izmir mengumumkan bahawa “perniagaan berjalan seperti biasa” walaupun aset NFC mengalami “pembekuan sementara”, apa yang mengejutkan rakyat Malaysia adalah penyalahgunaan dana masih lagi berlaku tanpa sekatan, yang mana menyaksikan keluarga Shahrizat menggunakan dana dalam projek NFC tersebut sebagai sumber pendapatan mereka,” tambahnya.
Menurut Lim (gambar), suami Shahrizat Dr. Mohammad Salleh Ismail selaku Pengerusi Eksekutif NFCorp mendapat pendapatan sejumlah RM100,000 gaji bulanan, anak lelaki mereka yang berumur 31 tahun, Izmir selaku Pengarah Eksekutif berpendapatan RM45,000 sebulan, manakala, seorang lagi anak lelaki mereka, Wan Shahinur Izran berumur 27 selaku CEO berpendapatan RM35,000 sebulan, manakala Wan Izzanah Fatimah, 25 tahun, berpendapatan RM35,000 atas jawatan sebagai pengarah. - satu jumlah keseluruhan bernilai RM215,000 gaji bulanan untuk suami dan tiga anak Shahrizat.
“Selepas hampir enam bulansejak pemdedahan Laporan Ketua Audit Negara, berkenaan terdapatnya kecelaruan dalam NFC, tiada sebarang tindakan yang dilakukan kabinet untuk membetulkan keadaan.
“Lebih malang lagi, apabila Shahrizat tidak menunjukkan sebarang rasa bersalah mahupun menyesal terhadap tindakannya itu,” kata Kit Siang.
Tambah Lim, sekurang-kurangnya, rakyat Malaysia menjangkakan aset NFC yang dibekukan adalah termasuk potongan sebanyak dua pertiga daripada gaji keseluruhan Pengerusi. Pengarah Eksekutif, CEO dan pengarah lain daripada pendapatan bernilai RM215,000 hanya kepada RM71,000.
Adakah ini akan dibincangkan di Kabinet esok? Menteri mana yang bernai untuk mengutarakan perkara ini,” soal Kit Siang.
No comments:
Post a Comment