PETALING JAYA - Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali tidak mempunyai masalah sekiranya digugurkan sebagai Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat-adat Melayu, Infrastuktur dan Kemudahan Awam .

Bagaimanapun beliau mempersoalkan tindakan terburu-buru Kerajaan Negeri membuat keputusan untuk mengugurkan beliau sebagai Exco.

Malah, Hasan turut mempersoalkan tindakan tersebut kerana beliau secara teknikal masih ahli Pas kerana mempunyai ruang untuk merayu sehingga 7 Februari depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) diberi tempoh 30 hari untuk mengemukakan rayuan.

"Sikap ini seperti ada pihak yang tidak sabar-sabar untuk mendapatkan jawatan saya sebagai Exco.

"Saya tidak mempunyai masalah digugurkan sebagai Exco tetapi tindakan terburu-buru menggugurkan saya sedangkan saya masih lagi ahli Pas kerana mempunyai masa untuk membuat rayuan," katanya pada sidang media di kediaman beliau di sini, hari ini.

Hasan turut memberitahu bahawa beliau telah menerima surat dari pihak istana berhubung pembatalan pelantikan beliau sebagai Exco.

Pada 9 Januari lalu, Jawatankuasa Pas Pusat mengambil tindakan memecat keahlian Hasan berkuat kuasa serta-merta.