JERLUN - Timbalan Pengerusi Umno Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir akan mengundi di kawasan Jerlun pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), petanda bahawa beliau akan kekal bertanding di kerusi tersebut.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jerlun berkata, keputusan menukar kawasan mengundi itu dibuat sendiri dan ia telah pun mendapat kelulusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menurutnya, tindakan itu sekurang-kurangnya sudah cukup bagi menyifatkan ia sebagai satu petanda bahawa keinginannya masih tetap untuk kekal bertanding di kawasan Jerlun nanti.

"Sebelum ini saya mengundi di Segambut, Kuala Lumpur dan kini kawasan saya mengundi untuk PRU13 nanti sudah ditukar ke kawasan Kota Siputeh," katanya menjawab soalan mengenai desas-desus mengatakan beliau akan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri pada PRU13.

Mukhriz berkata, setakat ini masih belum ada sebarang ketetapan berkenaan kawasan bagi beliau bertanding semula.

Bagaimanapun katanya, beliau tetap akur sekiranya pucuk pimpinan meletakkannya sebagai calon di peringkat Dewan Undangan Negeri kelak.

"Saya yakin sebarang keputusan daripada pucuk pimpinan adalah yang terbaik melihat kepada pelbagai faktor antara lain pastinya untuk memberi kemenangan kepada Barisan Nasional," katanya.