Monday, January 9, 2012

Nenek janji jaga tiga cucu kematian ibu bapa



Dharwisya Batrisya dan Mohd Danish Nazreem di sisi Patimah Nodin di rumahnya di Felda Gugusan Raja Alias Empat, Jempol, semalam.


JEMPOL 8 Jan. - Ibu kepada wanita yang terbunuh bersama suaminya, selepas kereta mereka naiki terbabas dan terhumban ke dalam parit di Jalan Kampung Raja, Kampung Gajah, kelmarin, berjanji akan menjaga tiga cucunya dengan sepenuh kasih dan sayang.

Patimah Nodin, 53, menjelaskan, dia tidak keberatan menjaga cucu-cucunya itu kerana telah berbuat demikian sejak Nor Dharwisya Batrisya, 6; Nor Damia Bashirah, 5, serta Mohd. Danish Nazreem, 2, dilahirkan.

"Oleh kerana ibu dan ayahnya bekerja, saya menjaga mereka. Nampaknya mereka tetap akan tinggal bersama saya selepas ini.

"Pada 23 Januari ini, kedua-dua arwah sepatutnya menyambut ulang tahun perkahwinan ketujuh. Allah lebih sayangkan mereka dan telah ambil nyawa mereka secara bersama," katanya ketika di temui di rumahnya di Felda Gugusan Raja Alias 4, di sini hari ini.

Mohd. Shahrin Ismail, 34, yang merupakan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak, dan Norazimah Abdul Aziz, 34, meninggal dunia selepas kereta mereka naiki terhumban ke dalam parit yang dipenuh air di Jalan Kampung Raja, Kampung Gajah.

Menurut Patimah, anak serta menantunya itu tidak menunjukkan sebarang kelakuan aneh sebelum nahas.

"Kali terakhir saya jumpa mereka pada Khamis lalu. Mereka pulang ke Jempol Rabu lalu bagi menguruskan hal persekolahan anak-anak.

"Mereka sempat mendaftarkan Nor Dharwisya dan Nor Damia ke Tadika Kemas Raja Alias 4. Malam Rabu, Norazimah mengeluarkan gambar dia dan suaminya yang diletakkan di dalam bingkai gambar di rumah saya.

"Dia menyimpan gambar itu di dalam almari dan mengambil bingkai gambar tersebut. Saya tidak tahu mengapa dia berbuat demikian dan hanya memerhatikan sahaja," ujarnya.

Katanya, kedua-dua jenazah telah dikebumikan di dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Raja Alias, kelmarin.Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment