Thursday, January 5, 2012

Ayah harap tidak terpengaruh




Nik Mohd. Kamal Husin bersama isterinya, Mariani Omar ketika ditemui di kediaman mereka di Kota Bahru, semalam.



KOTA BHARU 4 Jan. - Ayah kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008, Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal yakin anaknya tidak akan mudah terpengaruh dengan budaya Barat apabila melanjutkan pelajaran ke United Kingdom Ogos nanti.
Nik Mohd. Kamal Husin, 43, berkata, beliau percaya pegangan agama yang kukuh dan hubungan erat dalam keluarga akan menjadi bekalan penting untuk Nik Nur Madihah menjalani kehidupan di negara orang.
Menurutnya, anak sulungnya itu yang kini mengikuti pengajian tahun akhir A Level dalam bidang Fizik Tulen di Kolej Tuanku Jaafar, Mantin, Negeri Sembilan sentiasa melakukan solat istikharah sebelum membuat apa-apa keputusan berkaitan hidupnya.
Katanya, Nik Nur Madihah masih mengekalkan identitinya memakai tudung labuh dan berjubah sekalipun dalam suasana pelajar pelbagai kaum.
"Walaupun dia masih belajar dalam negara tetapi suasana di tempat pengajiannya itu sudah mirip kepada keadaan di negara Barat.
"Lebih ramai pelajar bukan Melayu yang berada di sana dan Madihah diejek sebagai 'budak pakai khemah' tetapi itu bukan masalah bagi anak saya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Taman Kurnia Jaya di sini, hari ini.
Menurut Nik Mohd Kamal, anaknya yang menerima pembiayaan biasiswa Bank Negara sudah menerima surat tawaran daripada beberapa universiti terkemuka di UK namun belum lagi membuat keputusan.
Jelasnya, walaupun dia hanya seorang nelayan dan isterinya, Mariani Omar, 44, suri rumah, namun mereka sentiasa berhubung dengan Nik Nur Madihah melalui kemudahan Internet dan telefon.
Katanya, kejayaan Nik Nur Madihah memperoleh 20 A dalam SPM 2008 telah mendorong tiga adiknya untuk lebih tekun belajar.
Jelasnya, dua daripadanya sedang mengikuti pengajian di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dan Universiti Putra Malaysia manakala anak bongsunya di tingkatan dua Sekolah Menengah Ugama Arab Maahad Muhammadi.Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment