|
NOR Azizan Ismail bersama Anisah Rafzan dan anaknya, Fatimah Azzahra, 4, terpaksa tidur dalam pondok setelah rumah mereka (kiri) tidak selamat diduduki di Kampung Baru, Mukim Tualak, Kuala Nerang, Kedah. |
PADANG TERAP 19 Feb. - Sepasang suami isteri yang tinggal di Kampung Baru, Mukim Tualak, Kuala Nerang di sini terpaksa tidur di sebuah pondok kecil yang dibina di belakang rumah kerana bimbang keselamatan mereka terancam disebabkan bumbung rumah hampir roboh akibat dimakan oleh anai-anai.
Nor Azizan Ismail, 30, yang bekerja mengambil upah menebas rumput berkata, bumbung rumahnya yang dibina dengan menggunakan kayu hutan hanya menunggu masa untuk roboh.
Disebabkan masalah itu, setiap malam dia dan isterinya, Anisah Rafzan, 36, terpaksa tidur di pondok kecil tersebut yang berdindingkan plastik.
"Rumah ini dibina di tanah sendiri dan saya telah memohon bantuan daripada pelbagai pihak, namun tidak ada maklum balas yang diterima.
"Sejak tiga bulan lalu saya dan isteri tidur di pondok kecil di belakang rumah kami dan sekarang musim angin kencang menyebabkan saya dan isteri takut untuk duduk di dalam rumah ini," katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Baru, Mukim Tualak di sini hari ini.
Menurutnya, dia mempunyai dua anak berusia sembilan dan empat tahun, namun setiap malam kedua-dua mereka tidur di rumah ibunya yang tinggal berhampiran.
"Kedua-dua mereka terpaksa bermalam di rumah ibu saya kerana bimbangkan keselamatan mereka terancam apabila tidur di rumah saya sekarang.
"Pendapatan saya tidak menentu dan hanya sekitar RM400 sebulan. Jadi saya memang tidak mampu membaiki bumbung rumah ini," ujarnya.
Kata Nor Azizan, isterinya itu juga baru sahaja pulih daripada penyakit saraf dan masih menjalani rawatan susulan di hospital.
"Tahun lalu isteri saya diserang penyakit saraf sehingga tidak dapat berjalan dan kini dia beransur pulih setelah mendapatkan rawatan di hospital.
"Saya sangat berharap isteri saya dapat tinggal dalam keadaan yang lebih selesa selepas pulih daripada penyakitnya," jelasnya.
No comments:
Post a Comment