YAN: Seorang nelayan yang sibuk menguruskan jenazah ibunya yang meninggal dunia akibat sakit tua, tiba-tiba rebah dan meninggal dunia akibat serangan jantung kira-kira empat jam selepas kematiannya ibunya di Kampung Keda Sungai Udang di sini, Jumaat lalu.Dalam kejadian pada kira-kira jam 8.45 malam Jumaat lalu, Shafpeley Md Isa, 48, sedang menguruskan persiapan untuk pengebumian jenazah ibunya, Che Mah Mohamad, 89, yang meninggal dunia pada kira-kira jam 4.20 petang hari berkenaan.Shafpeley yang juga anak bongsu daripada tujuh beradik dipercayai keletihan kerana menguruskan jenazah ibunya menyebabkan dia tiba-tiba rebah di rumah mereka sebelum dikejarkan ke Hospital Yan dan disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.
Dia sebelum itu menjaga ibunya yang terlantar sakit sejak sembilan tahun lalu, termasuk menyuapkan makan minum serta memandikan ibunya itu walaupun sibuk dengan kerjanya sebagai nelayan setiap hari.
Kakak ipar mangsa, Che Gayah Md Noh, 54, berkata, ketika membaca surah Yasin di depan jenazah ibunya, Shafpeley mengadu panas dan terus keluar untuk mengambil angin.
Bagaimanapun, katanya, dia tiba-tiba rebah tetapi sempat disambut penduduk kampung yang berada tidak jauh darinya.
“Adik ipar saya disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital dan doktor mengesahkan ia berpunca daripada serangan jantung.
“Berikutan itu, jenazah Shafpeley dikebumikan bersama jenazah ibunya dalam satu liang lahad pada kira-kira jam 10 pagi semalam (kelmarin),” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Che Gayah berkata, dia mendapat berita mengenai kejadian yang menimpa adik iparnya itu apabila dimaklumkan oleh adiknya, Che Basah, 46, yang juga isteri Shafpeley melalui panggilan telefon ketika berniaga di pasar malam Sungai Layar, Sungai Petani pada malam berkenaan.
“Saya tiba di rumah mereka pada kira-kira jam 11 malam dan terkejut apabila mendapati ada dua jenazah, iaitu adik ipar saya dan ibunya. Pada mulanya saya hanya dimaklumkan mengenai berita kematian Shafpeley,” katanya yang sebak dengan kejadian itu.
Che Gayah berkata, adik iparnya itu ada menjalani pemeriksaan kesihatan, baru-baru ini dan doktor memaklumkan dia menghadapi masalah jantung tetapi tidak kritikal. Shafpeley meninggalkan empat anak berusia antara sembilan dan 21 tahun, yang mana dua daripada mereka masih lagi bersekolah.
Anak sulung Shafpeley, Norsyafiza, 21, berkata, arwah bapanya beriya-iya menghubunginya supaya pulang melihat jenazah neneknya buat kali terakhir ketika dia sedang bekerja di sebuah pasar raya di Pulau Pinang.
“Sepanjang perjalanan pulang arwah ayah menghubungi saya lima kali untuk bertanya sudah sampai di mana. Saya tiba di rumah pada jam 7 malam dan ketika itu bapa tidak menunjukkan sebarang perubahan,” katanya.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment