ZABEDAH (kanan) ditemukan semula dengan Haryati di pejabat JKM, semalam. |
KUALA LUMPUR: Wanita warga tua yang dilaporkan hilang ketika membeli-belah bersama anak dan cucunya di Jalan Masjid India, Ahad lalu, ditemukan semula dengan keluarganya oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semalam.
Zabedah Masood, 70, jelas gembira ketika ditemukan semula dengan anak perempuannya, Siti Haryati Ariffin, 43, di pejabat JKM, di sini selepas hampir tiga hari diletakkan di bawah jagaan JKM.
Siti Haryati turut melahirkan rasa syukur kerana ibunya ditemui semula dalam keadaan selamat dengan bantuan polis yang kemudian menghantar warga emas itu kepada JKM Kuala Lumpur.
“Saya amat bersyukur bila mendapat panggilan polis memberitahu ibu saya sudah ditemui dan ditempatkan di rumah perlindungan JKM di Sungai Buloh kira-kira jam 10 malam, semalam (kelmarin).
“Ketika itu, saya, suami dan seorang anak kami dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk mencarinya.
Menceritakan semula detik terpisah daripada keluarganya ketika menemankan mereka membeli baju di sebuah gedung pakaian di Jalan Masjid India, Zabedah memberitahu beliau menangis selepas gagal menemui anak serta cucunya.
“Tidak dapat saya gambarkan perasan masa itu, saya menangis dan jerit panggil nama anak dan cucu tapi gagal berjumpa mereka.
“Saya menunggu di gedung itu hingga 10 malam tetapi tidak juga berjumpa dengan mereka (keluarga). Mujur ada anggota polis sudi menolong dan hingga jam 1 pagi saya tunggu di sebuah balai polis bergerak sebelum dihantar ke Anjung Singgah (rumah bagi golongan gelandangan),” katanya.
Zabedah berkata, kegagalannya untuk mengingati nombor telefon anak atau saudara mara menyebabkan polis dan JKM gagal menghubungi keluarganya.
Siti Haryati yang tinggal di Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram, Johor Bahru datang ke ibu negara untuk menemankan anaknya menghadiri pertandingan hoki di sini, sebelum singgah di Jalan Masjid India untuk membeli pakaian bersama suami, tiga anak serta Zabedah.
No comments:
Post a Comment