SHAH ALAM – Kerajaan Selangor membiayai kos penerbangan pulang mangsa culik, Nazatul Fardiana Mohd Izwan, 14, yang ditemui di Bangkok, Thailand 11 Mac lalu.
Exco Kerajaan Negeri yang juga Adun Kota Anggerik, Dr Yaakob Sapari berkata, ibu remaja itu, Norazura Roski, 37, menemuinya meminta bantuan untuk membawa anaknya pulang.
“Ini kerana, remaja itu perlu dibawa pulang melalui jalan udara atas sebab keselamatan. Saya difahamkan, peruntukan Kerajaan Pusat hanya untuk perjalanan darat,” kata Yaakob pada sidang media di sini, semalam.
Sehubungan itu, katanya, pihaknya telah menghantar dua pegawai untuk mengiringi Norazura ke Bangkok, Jumaat lalu.
Yaakob berkata, Nazatul sepatutnya pulang pada 17 Mac namun ditangguh sehingga 19 Mac bagi membolehkan urusan dokumentasi diselesaikan.
Remaja itu yang tiba di LCCT Sepang jam 8.50 malam 19 Mac, terus dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya di Petaling Jaya, untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.
Difahamkan, sehingga kini dia masih ditempatkan di hospital itu dengan kawalan keselamatan yang ketat.
Remaja itu dilaporkan hilang 31 Januari lalu selepas dikatakan keluar ke rumah rakannya sehari sebelum itu.
12 Mac lalu, dia dikatakan menghubungi ibunya memberitahu berada di Thailand dan baru melepaskan diri daripada penculik.
Sehari sebelum itu, dia ditemui di stesen kereta api Hua Lampong, Bangkok bersama lima lagi remaja dari Myanmar berusia antara 15 hingga 17 tahun yang dipercayai turut menjadi mangsa culik.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, Nazatul hingga kini masih trauma dan masih dirawat di hospital.
“Dia hanya beritahu polis diculik dan dibawa dalam sebuah van putih dari Seksyen 9, Shah Alam,” katanya.
Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 366 Kanun Keseksaan kerana menculik.
Pada 30 Januari, penuntut tingkatan tiga itu diturunkan ibunya di hentian bas di sini kira-kira 1 tengah hari. Esoknya, apabila dia tidak pulang ke rumah, ibunya membuat laporan polis di sini.
No comments:
Post a Comment