Semasa belajar di Jordan, saya pernah melihat sinar Dome of the Rock di bukit Madaba. Hati meronta ingin melawat al-Masjid al-Aqsa kerana jarak yang sangat hampir. Namun fatwa semasa itu menghukumkan haram ziarah Palestin kecuali atas nama Jihad fi Sabilillah kerana untuk masuk ke Palestin, perlu dapatkan kebenaran penjenayahnya yang memenjarakan bumi Isra' itu. Saya berpegang dengan fatwa itu dan melepaskan Bumi Syam selepas 8 tahun mastautin di sana tanpa sekali pun pernah menjejakkan kaki. Sesekali terbang ke Istanbul, saya akan melihat dengan mata dan hati yang sayu dari atas pesawat, Al-Aqsa yang terpenjara di bawahnya.
Kini selepas lebih sedekad, situasi di Palestin masih belum berubah malah semakin buruk. Maka saya kekal berpegang dengan fatwa yang sama untuk tidak berziarah ke sana.
Namun, oleh kerana ia sebuah fatwa, dan pendapat yang mengharuskannya juga adalah dengan sebuah fatwa bersama hujah, saya menghormati sesiapa sahaja yang melawat al-Aqsa dengan ilmunya.
Musuh sebenar umat ialah mereka yang menjadikan isu ini sebagai bahan melaga, mencela dan memecah belahkan saf kaum Muslimin! Zionis memusnahkan kita atas nama Zionis, jangan kita musnahkan saf kita semasa memakai jenama ISLAM
No comments:
Post a Comment