Thursday, May 24, 2012

Kerajaan tuntut Ambiga bayar RM122,000

myMetro | Kerajaan tuntut Ambiga bayar RM122,000:

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia mengemukakan saman menuntut ganti rugi RM122,000 daripada Pengerusi Bersih 3.0, Datuk S Ambiga dan sembilan ahli jawatankuasa penganjur kerana gagal mengawal perhimpunan haram pada 28 April lalu sehingga menanggung kerugian berikutan kerosakan 15 kenderaan miliknya.
Kerajaan memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutannya di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur (KMKL) Jalan Duta pada 15 Mei lalu. Selain Ambiga, Maria Chin Abdullah, Zaid Kamarudin, Haris Fathillah Mohamed, K Arumugam, S Arul Prakkash, Wong Chin Huat, Dr Ahmad Farouk Musa, Toh Kin Woon dan Andrew Khoo dinamakan sebagai defendan dalam writ saman itu.

Dalam pernyataan tuntutannya, kerajaan (plaintif) berkata pada 28 April lalu, pihak penganjur berhimpun di sekitar Dataran Merdeka yang sudah dipasang halangan dan sekatan polis, bagaimanapun rempuhan peserta perhimpunan menyebabkan berlaku kerosakan harta benda.
Plaintif mendakwa mengikut Seksyen 6(2)(g) Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736), semua defendan mempunyai tanggungjawab untuk memastikan antaranya perhimpunan yang diadakan tidak menyebabkan kerosakan kepada harta benda.

Dakwa plaintif lagi, defendan juga gagal melaksanakan tugas dan tanggungjawab statutori apabila perhimpunan itu menjadi tidak terkawal dan bertukar menjadi rusuhan menyebabkan kerosakan kepada kenderaan miliknya.

Katanya, defendan cuai apabila membawa peserta yang ramai tetapi gagal mengadakan kawalan secukupnya.
Defendan juga didakwa tidak mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan perhimpunan berjalan dengan aman dan gagal melantik bilangan orang yang perlu untuk bertanggungjawab bagi mengendalikan perhimpunan yang teratur.

Berikutan kecuaian defendan, plaintif mendakwa 15 kenderaan miliknya rosak dan ia menanggung kerugian yang ditaksirkan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi kos pembaikan di antara RM2,000 dan RM20,000 yang berjumlah RM122,000.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment