Tuesday, May 8, 2012

Pejabat PKR dipecah

Pejabat PKR dipecah - Pahang - Sinar Harian:


Pejabat PKR dipecah
Kamarzaman menunjukkan bilik gerakan yang menyimpan dokumen penting parti itu
KUANTAN – Pejabat Perhubungan Negeri PKR Pahang di Jalan Beserah di sini, dipecah masuk menyebabkan komputer peribadi yang mengandungi maklumat sulit parti itu hilang.

Timbalan Setiausaha PKR Pahang, Kamarzaman Mohamed Yunus berkata, kejadian itu disedari Setiausaha Kerja PKR Pahang, Adnan Abu kira-kira jam 9.30 malam kelmarin ketika baru pulang dari Kuala Lumpur.

Katanya, sebaik melihat keadaan pejabat yang mencurigakan, Adnan segera menghubungi ahli jawatankuasa lain untuk memaklumkan kejadian itu.

“Kami tiba di sini kira-kira jam 10 malam dan mendapati keadaan di pejabat tunggang-langgang serta bekalan elektrik juga telah diputuskan,” katanya ketika ditemui di pejabat itu, semalam.

Hadir sama, Pengerusi PKR Pahang, Datuk Fauzi Ab Rahman serta Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.

Kamarzaman berkata, semua bahagian pejabat rosak teruk selepas pencuri terbabit bertindak merosakkan harta benda termasuk memecahkan bahagian bumbung bangunan.

“Apa yang menjadi tanda tanya, jika benar pencuri itu berniat untuk mencuri barang berharga, mengapa dia hanya mengambil satu komputer sahaja sedangkan tiga lagi dibiarkan.

“Tidak puas hati, kami terus membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan,” katanya.

Sementara itu, Fauzi berkata, pihaknya mengesyaki tindakan itu bukan usaha pencuri biasa sebaliknya golongan profesional yang berniat untuk melumpuhkan gerak kerja pilihan raya akan datang.

“Jika benar, pencuri itu mahukan barang berharga, sudah tentu semua peralatan diambil. Namun, apa yang berlaku sebaliknya. Pencuri itu hanya mengambil komputer peribadi yang mengandungi maklumat penting parti kami.

“Pencuri itu juga sempat makan dan minum sebelum meninggalkan tempat itu kerana terdapat sisa makanan dan minuman di atas meja,” katanya.

Katanya, usaha pihak terbabit melumpuhkan persiapan parti itu untuk pilihan raya akan datang sia-sia kerana apa yang berlaku tidak sedikit pun menggoyahkan semangat mereka.

“Pendek kata, mereka tidak mampu melakukan apa-apa untuk menyekat kemaraan rakyat. Mereka hanya membuang masa,” katanya.

Fauzi berkata, pihaknya tidak akan berpindah, sebaliknya akan meneruskan operasi di pejabat itu.

No comments:

Post a Comment