Tuesday, May 8, 2012

PKR mahu tribunal siasat Aziz, Wan Ahmad

PKR mahu tribunal siasat Aziz, Wan Ahmad - Nasional - Sinar Harian:


Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli
Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli
PETALING JAYA - PKR mahu kerajaan menubuhkan sebuah tribunal bagi meneliti status Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar masing-masing sebagai Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ekoran dakwaan bahawa mereka masih ahli Umno.

"PKR akan menulis secara rasmi kepada (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menggesa penubuhan tribunal ini.

"Surat rasmi ini akan diserahkan secara tangan ke Pejabat Perdana Menteri Khamis ini," kata kenyataan media dikeluarkan oleh Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dan anggota Biro Politik parti itu, R. Sivarasa hari ini.

Kata mereka, pendedahan yang dibuat oleh Setiausaha Agung PKR,  Datuk Saifuddin Nasution Ismail bahawa Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) adalah ahli Umno mempunyai kesan yang besar di sisi Perlembagaan Persekutuan.

"Bukti yang dikemukakan oleh Datuk Saifuddin Nasution Ismail mengenai keanggotaan Tan Sri Abdul Aziz Yusof di bahagian Umno Ampang sehingga kini tidak disanggah.

"Timbalannya Datuk Wan Ahmad Wan Omar pula mengaku secara terbuka beliau pernah menjadi ahli Umno. Sejak pendedahan dibuat dua minggu lalu, kedua-dua mereka tidak pernah menyatakan bahawa mereka telah membatalkan keanggotaan mereka," katanya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati ahli Umno bernama Wan Ahmad Wan Omar bukan Datuk Wira Wan Ahmad.

Rafizi dan Sivarasa berkata, peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai perlantikan dan keanggotaan SPR adalah jelas seperti termaktub dalam Perkara 114, terutamanya Fasal 2 dan Fasal 4A seperti berikut: (2) Pada melantik anggota Suruhanjaya Pilihan Raya, Yang di-Pertuan Agong hendaklah mengambil perhatian tentang peri mustahaknya suatu Suruhanjaya Pilihan Raya yang mendapat kepercayaan awam.

"(4A) Sebagai tambahan kepada apa-apa kehilangan kelayakan yang diperuntukkan di bawah Fasal (4), pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya hilang kelayakan untuk memegang jawatan itu jika selepas tiga bulan pelantikannya ke jawatan itu atau pada bila-bila masa selepas itu dia ialah atau menjadi anggota mana-mana lembaga pengarah atau lembaga pengurusan, atau pegawai atau pekerja, atau melibatkan diri dalam hal ehwal atau urusan, mana mana organisasi atau badan, sama ada diperbadankan atau selainnya, atau mana-mana  pengusahaan komersil, perindustrian atau pengusahaan lain, sama ada atau tidak dia menerima apa-apa saraan, hadiah, untung atau faedah daripadanya.

"Dengan syarat bahawa kehilangan kelayakan itu tidaklah terpakai jika organisasi atau badan itu menjalankan apa-apa kerja kebajikan atau sukarela atau tujuan yang berfaedah kepada masyarakat atau mana-mana bahagiannya, atau apa-apa kerja atau tujuan lain yang bersifat  khairat atau sosial, dan anggota itu tidak menerima apa-apa saraan, hadiah, untung atau faedah daripadanya.

Keanggotaan kedua-dua pegawai tertinggi SPR ini di dalam sebuah parti politik secara jelas melanggar Perkara 114, Fasal 2 dan Fasal 4A. Apatah lagi apabila kedua-dua mereka mengaku menjadi ahli atau tidak menafikan mereka pernah menjadi ahli," kata kedua-dua mereka.

Malah menurut mereka, tuntutan yang dikenakan oleh Perkara 114 adalah jelas iaitu dalam masa tiga bulan dilantik ke jawatan Pengerusi atau Timbalan Pengerusi SPR, mereka perlu menarik diri dari semua badan yang termaktub di bawah Fasal 4A dengan membatalkan keahlian mereka.

"Sebagai pegawai tertinggi SPR, kecuaian mereka tidak menyemak dan membatalkan keahlian parti politik adalah satu kesalahan besar yang melanggar peruntukan Perlembagaan.

"Oleh yang demikian, PKR akan memulakan tindakan bersesuaian dengan Perlembagaan untuk memecat kedua-dua mereka dari SPR," kata Rafizi dan Sivarasa.

Malah kata beliau, mengikut peruntukan Perlembagaan, sebuah tribunal perlu ditubuhkan untuk membicarakan kecuaian dan pelanggaran peruntukan Perlembagaan seperti yang didakwa seterusnya mengambil tindakan memecat kedua-duanya jika didapati bersalah.

No comments:

Post a Comment