Wednesday, June 20, 2012

Isu NFC: Pac akan panggil wakil Kementerian Pertanian, Jabatan Veterinar

Pengerusi Eksekutif NFCorp, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail keluar tinggalkan Mahkamah Sesyen
$entry.content.caption.value
KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil wakil daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Jabatan Veterinar bagi memberi penjelasan berhubung prosedur operasi standard (SOP) penganugerahan kontrak projek Pusat Fidlot Nasional (NFC).
  
Pengerusi PAC Datuk Seri Azmi Khalid berkata jawatankuasa itu bersetuju memanggil wakil kementerian dan jabatan untuk memberi keterangan pada 26 Jun ini.
  
"Akan tetapi ia lebih kepada penjelasan SOP kontrak NFC sama ada mereka mematuhi SOP. Kita tidak akan menyentuh apa-apa berkaitan mahkamah yang boleh menimbulkan subjudis.
  
"Ia adalah dua bahagian. Satu, apabila wang (dana) itu hilang kita tidak mahu sentuh... (tetapi sentuh) bagaimana keputusan dibuat sebelum memulakan projek," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat PAC di bangunan Parlimen hari ini.
  
Pada 12 Mac lepas, Pengerusi Eksekutif NFCorp Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail, 64, didakwa menyeleweng RM9,758,140 dalam kapasitinya sebagai pengarah NFC, bagi membiayai pembelian dua unit kondominium 'One Menerung' di Bangsar antara 1 dan 4 Dis 2009 di CIMB Islamic Bank Bhd, Taman Tun Dr Ismail.
  
Tuduhan kedua melibatkan pemindahan RM40 juta ke dalam akaun National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd, di mana Mohamad Salleh dan seorang daripada anaknya adalah pengarah, antara 6 Mei dan 16 Nov 2009.
  
Selain Pusat Fidlot Nasional (NFC), PAC turut menyiasat kos pembinaan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) baharu atau KLIA 2, pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kes pelupusan hutang bekas Pengerusi Malaysia Airlines (MAS) Tan Sri Tajudin Ramli. - Bernama

No comments:

Post a Comment