POKOK SENA: “Ramadan kali ini sangat bermakna buat saya yang tidak sabar-sabar mahu pulang ke kampung halaman bagi menjenguk ibu yang 30 tahun ditinggalkan,” begitulah luahan banduan berasal dari Sembawa, Indonesia, Mansur Tahir, 50, antara lapan banduan yang menerima pengampunan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar untuk dibebaskan, semalam.
Mansur yang menjalani kehidupan di balik tirai besi seawal usia 20 tahun bagaimanapun berdebar kerana tidak tahu sama ada ibunya masih hidup selepas mereka terputus hubungan sejak 30 tahun lalu akibat dipisahkan jarak.
“Saya mahu melawat pusara ayah bagi memohon ampun di atas setiap kesalahan dilakukan, lebih-lebih lagi sempena Ramadan kali ini.
“Saya berasa seperti berada di awangan selain menggigil kerana tidak menyangka akan dibebaskan dan diberi peluang kedua,” katanya ketika ditemui pemberita selepas dibebaskan dari Penjara Pokok Sena, di sini, semalam.
Seorang lagi banduan berasal dari Sembawa, Salleh @ Mus Mion, 43, turut mendapat pengampunan Sultan Johor selepas 27 tahun menjalani hukuman penjara.
Bagaimanapun, Mansur dijadualkan pulang ke kampung halamannya melalui penerbangan semalam berikutan urusan dokumentasi, termasuk pasport oleh Jabatan Imigresen dan Konsulat Jeneral Indonesia mengambil sedikit masa untuk disiapkan.
Mansur berkata, dia menjunjung kasih kepada Sultan Johor kerana memberi pengampunan itu dan menasihatkan masyarakat supaya menjaga tingkah laku dan tidak melakukan kesalahan serta menggunakan kebebasan hidup sebaik mungkin.
Dia menyesali dosa lampaunya, kini berhasrat memulakan kerjaya sebagai tukang jahit di kampung halamannya.
No comments:
Post a Comment