KAJANG: “Pembebasan saya hari ini (semalam) sangat bermakna ketika semua umat Islam mula berpuasa,” kata lelaki mahu dikenali sebagai Mil, 58.
Mil diperintah menjalani hukuman penjara seumur hidup dan enam kali sebatan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bermula dari 17 Julai 1982 selepas ditahan pada 8 Ogos atas kesalahan memiliki senjata api mengikut Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Dia yang dikatakan antara banduan paling lama menghuni Penjara Kajang dibebaskan selepas menjalani hukuman penjara 32 tahun kerana mendapat pengampunan penuh daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar.
Berkongsi kegembiraannya, Mil berkata, dia gembira kerana terlalu merindui keluarga, terutama ibu di Batu Pahat.
“Kali terakhir saya berjumpa ibu dua tahun lalu. Ketika melawat saya (2010), dia berkata, ‘sudah 30 tahun Mil... ibu balik dululah’,” katanya sambil menahan sebak.
Mil berkata, dia terharu apabila pembebasannya semalam disambut baik ahli keluarga dan mengakui belum mempunyai perancangan masa depan sebaik dibebaskan.
“Tiga dekad saya tinggalkan dunia luar, saya belum rancang apa-apa lagi. Saya mahu tengok persekitaran dulu...,” katanya.
Seorang lagi banduan warga Indonesia yang mahu dikenali sebagai Pak Din, 58, berkata, dia tidak menyangka dibebaskan semalam selepas 30 tahun menghuni Penjara Kajang.
Bapa seorang anak lelaki yang berasal dari Sumbawa Besar, Indonesia, itu dijatuhi hukuman penjara seumur hidup bermula 26 Jun 1989.
No comments:
Post a Comment