Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
SHAH ALAM - Sebuah jawatankuasa khas yang diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Muhammad Khusrin Munawi telah diwujudkan untuk memuktamadkan pengambilalihan empat syarikat konsesi air di negeri ini selewat-lewatnya bulan depan, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Empat syarikat konsesi air di Selangor itu ialah Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Syarikat Pengeluaran Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) and Konsortium ABASS.
Pengambilalihan itu akan dibuat berdasarkan harga pasaran munasabah, kata Abdul Khalid dalam satu kenyataan hari ini.
"Sekiranya pemegang  konsesi tidak menerima nilai yang ditawarkan, mereka boleh merujuk kepada badan timbang tara bebas yang akan memutuskan nilai yang sepatutnya.
"Kerajaan Negeri akan mematuhi keputusan yang dibuat oleh badan timbang tara tersebut," katanya.
Abdul Khalid berkata kerajaan negeri akan mengemukakan  cadangan kepada Suruhanjaya Pengurusan Air Negara, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan
Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air bagi memastikan proses pemajakan aset air negeri dan pengambilalihan liabiliti industri air diselesaikan serentak.

Pada masa sama, katanya, pemantauan ke atas Syabas akan diteruskan oleh Jawatankuasa Pemantauan bekalan air seperti biasa. - Bernama