Tali pinggang yang mempunyai tulisan jawi yang masih disimpan Liza tanpa pengetahuan Rizal |
Liza (bukan nama sebenar) baru tiga minggu bekerja sebagai pembantu kedai telefon di bandar Mentakab dengan pendapatan kira-kira RM600 sebulan tidak termasuk kerja lebih masa.
Liza 19, berasal dari sebuah Felda di Bera mengakui kehidupan di tanah rancangan agak menyukarkannya untuk meraih pendapatan sendiri akibat kekurangan sumber pekerjaan.
Pada mulanya Liza berjanji untuk berhijrah ke Temerloh bersama rakan sekampungnya namun akibat tidak diizinkan bapa, rakannya terpaksa akur dan meneruskan hidup di kampung.
Liza sampai di bandar Temerloh dan selepas seharian turun naik bas mencari pekerjaan, akhirnya dia diterima bekerja di sebuah kedai menjual peralatan telekomunikasi di Mentakab.
Liza juga sudah bertemu rakan baru Julia (bukan nama sebenar), 21, satu tempat kerja yang menawarnya tinggal bersama di rumah sewa dekat sebuah taman perumahan di Mentakab.
Menurutnya, rakan serumahnya berasal dari Maran, sudah dua tahun bekerja di situ dan tahu selok belok perniagaan selain mempunyai ramai kenalan lelaki.
Selepas seminggu bekerja, Liza didatangi seorang lelaki pertengahan usia yang mahu mencari telefon pintar untuk dihadiahkan kepada seorang rakannya.
Liza pada mulanya hanya melayan lelaki itu yang dikenali sebagai Rizal (bukan nama sebenar) sebagai pelanggan akhirnya terpesona dengan lemah lembut budi bahasa dan tingkah lakunya.
Liza berkata, Rizal, 43, adalah seorang kontraktor pembinaan yang sudah berkahwin dan ada empat anak tetapi masih pandai bergaya serta pandai berkata-kata.
Perkenalan singkat di tempat kerja akhirnya membuatkan Rizal semakin kerap berulang ke tempat kerja Liza dengan pelbagai alasan seperti membaiki telefon rosak, beli kad pra bayar dan macam-macam alasan.
Namun begitu Liza yang masih berpegang kuat pada ajaran agama pandai mengelak setiap kali Rizal cuba mengajaknya keluar makan bersama.
Lama-kelamaan hubungan Liza dan Rizal semakin rapat, satu hari ketika Liza hendak pulang ke kampung dia terserempak dengan Rizal ketika sedang menunggu bas di Temerloh.
Kali ini Liza terperangkap, mahu tak mahu dia terpaksa menerima pelawaan Rizal untuk keluar makan bersama.
Gila bayang
Ketika dalam kereta Liza perasan tingkah laku Rizal yang merokok dan menghembus kepulan asap ke mukanya beberapa kali, apabila ditanya mengapa bertindak begitu Rizal pantas meminta maaf.
“Selepas pulang dari makan, saya menaiki bas pulang ke kampung, ketika dalam perjalanan fikiran saya asyik teringatkan Rizal dalam semua perkara, tak tahan dengan semua itu, sebaik tiba di Bera, saya kemudian bertindak nekad patah balik ke Temerloh untuk berjumpa Rizal.
“Tanpa diduga Rizal memang menanti kehadiran saya, apa yang menghairankan, perasaan saya terhadap Rizal kali ini semakin tidak terkawal, mahu sahaja saya memeluknya sebaik bertemu dengannya.
“Rizal pandai memasang perangkap, kalau dahulu saya begitu berhati-hati dengannya, kali ini dia sudah memiliki saya, entah apa yang dipakainya sehingga hati sentiasa teringatkan dirinya walhal kurang 24 jam lalu dia bukanlah pilihan hati saya,” katanya.
Banyak kali terlanjur
Liza berkata, selepas detik itu, dia menuruti semua kemahuan Rizal termasuklah bercuti bersama di pusat peranginan terkemuka dan banyak kali terlanjur.
Beberapa bulan kemudian Rizal yang dikenali seorang yang lemah lembut bertukar menjadi seorang yang sangat bengis dan menakutkan.
“Rizal akhirnya melepaskan saya selepas tujuh bulan bersama, ketika itu baru saya sedar dari lamunan dan mula membencinya.
“Sepanjang bersama, sempat saya melihat beberapa barang pelik seperti botol dalam botol, kain kuning dalam botol, beberapa potongan ayat pelik yang dilipat kecil dan tali pinggang yang ada tulisan jawi.
“Saya sempat mengambil beberapa barang pelik antaranya tali pinggang bertulisan jawi dan masih dalam simpanan saya.
“Baru saya tahu tujuan Rizal menghembuskan asap rokoknya ke muka saya adalah untuk memikat dengan bacaan ayat tertentu,” katanya.
No comments:
Post a Comment