Sunday, September 30, 2012

Harta pusaka tak diwasiat RM45 bilion



Putrajaya: Nilai harta pusaka terbeku, iaitu yang tidak diwasiatkan, di Malaysia, sebahagian besar milik orang Islam dianggarkan mencecah RM45 bilion.

Penemuan itu adalah hasil kajian sebuah syarikat milik Bumiputera yang mengkhusus dalam bidang perancangan dan pengurusan harta pusaka Islam, Wasiyyah Shoppe Sdn Bhd. Sebahagian besar harta berkenaan dalam dalam bentuk wang tunai dalam akaun bank dan harta tetap.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azrin Sabirin, berkata pelbagai faktor menyumbang kepada masalah berkenaan termasuk waris kurang pengetahuan mengenai pengurusan harta si mati.

Kurang pengetahuan

Kekurangan pengetahuan mengenai pengurusan dan prosiding harta pusaka menyebabkan waris tidak berminat untuk menguruskan harta berkenaan.

Masalah pengumpulan dokumen untuk pengurusan harta pusaka juga menjadi penyumbang kepada isu ini dan secara umumnya waris tidak tahu untuk bermula daripada mana, sekali gus menyekat usaha untuk menuntut harta pusaka, katanya kepada media selepas Konvensyen Pewarisan Harta Syariah di sini, semalam.
Tak tahu hukum

Selain itu, katanya, isu itu juga timbul kerana pertelagahan mengenai hak waris terutama dalam aspek faraid kerana tidak ramai yang tahu secara mendalam mengenai hukum itu serta tidak berusaha merujuk kepada yang pakar.

Justeru katanya, penyediaan dokumen tepat atau hibah (hadiah) serta melantik pegawai agensi pengurusan harta pusaka mampu menyelesaikan isu perebutan harta pusaka, selain mengelak harta itu terbeku akibat pewaris enggan memberi kerjasama.

Kesan hibah

Hibah jauh lebih berkesan dan fleksibel dari segi undang-undang syariah bagi tujuan pembahagian harta yang mana melaluinya pemilik harta boleh menentukan pewaris mengikut yang dikehendakinya.

Harta yang dihibah tetap akan menjadi hak pemiliknya selagi dia masih hidup dan berhak menikmati manfaat dari harta tersebut sepanjang hayatnya. Ia hanya bertukar milik kepada penerima hibah selepas kematian pemilik harta.

Selain itu, harta yang dihibah tidak akan menjadi harta pusaka dan tidak boleh dituntut oleh waris mengikut hukum faraid, katanya.

No comments:

Post a Comment