Sunday, September 30, 2012

Lelaki dayus



         
KUALA LUMPUR: “Suami yang tidak marah, malah merelakan isteri melakukan pekerjaan maksiat dan haram di sisi agama, adalah lelaki dayus. Dalam Islam, lelaki dayus tidak boleh masuk syurga,” kata penceramah bebas, Zawiyah Hassan.

Beliau yang juga mantan Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkata, sungguhpun suami meredai kerja isteri, ia tetap tidak berguna jika pekerjaan itu jelas melanggar hukum Allah.


“Suami sepatutnya mendidik isteri menjadi lebih baik, baru rumah tangga diberkati Allah. Setiap orang Islam perlu sedar, sebagai hamba, kita diikat dengan peraturan ditetapkan Allah, namun yang dilihat kini, semakin ramai mempermainkan perintah-Nya.

“Jiwa orang yang banyak berbuat dosa dan maksiat akan sentiasa terdorong melakukan perbuatan sama berulang kali atau perbuatan lebih teruk lagi, melainkan jika diberi hidayah Allah atau bertaubat,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan Harian Metro semalam mengenai cara hidup segelintir suami isteri di ibu kota yang ‘sekepala’ menjalani kehidupan yang disifatkan golongan terbabit sangat bahagia biarpun diselubungi noda berikutan mengutamakan hiburan dan mendapatkan wang dengan cara mudah.


Malah, pasangan baru berkahwin, Man dan Liza, turut mengaku tidak kisah dengan pekerjaan Liza sebagai pelayan pelanggan (GRO) selain diberi keizinan suaminya kerana pendapatannya lumayan hingga mencecah lebih RM10,000 sebulan.

Bagaimanapun, Liza baru berhenti kerja sebagai GRO sejak sebulan lalu kerana kini hamil lima minggu.


Zawiyah berkata, contoh kehidupan demikian menunjukkan pasangan itu atau pasangan seumpamanya menganggap seolah-olah Allah tiada kaitan langsung dengan hidup mereka kerana melakukan apa saja sesuka hati tanpa batasan agama.

“Nasihat saya, segera bertaubat nasuha selagi masih ada kesempatan dan cari rezeki halal kerana rezeki Allah sangat luas di dunia ini. Sanggupkah kita melahirkan zuriat dengan perangai sama kelak?” katanya.

No comments:

Post a Comment