Tuesday, September 4, 2012

Sejarah ringkas pembunuhan JWW Birch di Pasir Salak.



Kisah pembunuhan J.W.W. Birch, Residen British pertama di Perak bermula daripada Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874.

Perjanjian tersebut adalah antara Gabenor Negeri-Negeri Selat iaitu Sir Andrew Clarke dan Raja Muda Abdullah. Perjanjian ini telah memberi kebenaran kepada pihak British untuk mencampuri urusan negeri Perak.

Perjanjian ini sebenarnya adalah satu kesilapan yang telah dibuat oleh Raja Abdullah kerana ia telah membuka peluang kepada British untuk masuk campur dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri Perak.

Kerajaan Inggeris telah menggunakan diplomasi yang mana mereka akan mengikitiraf Raja Abdullah sebagai Sultan Perak dan pada masa yang sama memaksa kerajaan negeri Perak menerima James Wheeler Woodford Birch (J.W.W. Birch) sebagai Residen British yang akan terlibat secara tidak langsung dalam urusan pentadbiran negeri Perak.

Atas perlantikan ini Birch menjadi bongkak dan sombong dan melakukan beberapa perubahan dalam sistem pentadbiran negeri Perak. Kelakuan Birch ini telah menimbulkan kemarahan pembesar-pembesar Perak seperti Raja Ismail, Dato' Maharaja Lela dan Tok Sagor. Mereka kemudiannya telah membuat satu pakatan untuk membunuh J.W.W. Birch.

Birch kemudiannya telah dibunuh pada 2 November 1875 apabila dia datang ke Pasir Salak untuk memungut cukai. Terdapat dua versi tentang cara pembunuhan Birch. Versi yang popular adalah Birch dikatakan dibunuh sewaktu sedang mandi di sungai oleh seorang lelaki bernama Si Putum. Versi yang kedua pula mengatakan Birch dibunuh sewaktu sedang menaiki sampan (atau rakit). Penduduk-penduduk kampung bersama-sama Dato' Maharaja Lela, Si Putum dan Tok Sagor telah menunggu kedatangan Birch di tebing sungai. Apabila sampan Birch menghampiri mereka, mereka telah merejam lembing ke arah Birch dan para pegawainya. Turut terbunuh ialah kerani kepada Birch yang bernama Mat Arshad. Mayat mereka kemudian dihumbankan ke dalam sungai.

Tindakan pembesar-pembesar Melayu ini telah menimbulkan kemarahan pihak British. Akibatnya, Dato' Maharaja Lela, Tok Sagor dan mereka yang terlibat dalam pembunuhan Birch telah ditangkap oleh British dan dihukum gantung. Sultan Abdullah dan Ngah Ibrahim telah dibuang negeri ke Pulau Seychelles.

sumber: Wikipedia, Sejarah Malaysia

*Rujukan Gambar ; [[Sultan Abdullah bersama-sama dengan JWW Birch, Raja Chulan (di atas riba Birch), Dato’ Laksamana, Swettenham dan Dato’ Syahbandar. Dato’ Sagor (bulatan) berdiri di belakang Sultan Abdullah. Gambar ini diambil di Bandar Bahru pada 1875. Sumber gambar: Amir Hamidi.]]
 

No comments:

Post a Comment