BEIRUT: Pemimpin Hizbullah semalam mengaku bertanggungjawab melancarkan dron buatan Iran ke ruang udara Israel awal minggu ini, sekali gus menambah ketegangan di Timur Tengah.
Sheikh Hassan Nasrallah turut mengingatkan, operasi itu bukan yang terakhir dilaksanakan kumpulannya terhadap negara rejim Zionis berkenan. Ketika muncul di televisyen semalam, Sheikh Hassan secara terbuka mengaku kumpulan pejuang Islam bertanggungjawab melancarkan dron berkenaan. “Hari ini sebahagian kecil kemampuan kami didedahkan dan kami akan tetap menyembunyikan banyak lagi rahsia.
“Memang menjadi hak semula jadi untuk kami menghantar pesawat peninjau ke wilayah Palestin yang diduduki Israel,” katanya. Tentera Udara Israel mengaku menembak jatuh sebuah dron tidak dikenali pada awal pagi 6 Oktober lalu, tetapi sebelum ini tiada sesiapa tampil mengaku bertanggungjawab melancarkannya.
Insiden itu juga mendedahkan bagaimana ruang udara Israel yang selama ini dikawal ketat, berjaya ditembusi pihak luar.
Bagaimanapun, sejak awal lagi rejim Zionis mengesyaki pesawat tanpa juruterbang itu didalangi Hizbullah kerana hubungannya yang rapat dengan Iran. Menurut Sheikh Hassan, dron berkenaan dilancarkan dari kawasan Lubnan dan terbang “berpuluh-puluh kilometer” ke dalam kawasan sensitif Israel sebelum ia dikesan dan ditembak jatuh berhampiran reaktor nuklear Dimona, selatan Israel. Sementara itu, sesetengah pihak melihat pengakuan Hizbullah itu meletakkan mereka di bawah tekanan kerana menjadikan Lubnan sebagai sasaran Israel.
Beberapa pihak lain pula berkata, pengakuan itu boleh menyeret Lubnan ke dalam konflik di rantau berkenaan. - AP
No comments:
Post a Comment