Saturday, October 13, 2012

Dituduh bunuh suami, kekasih

Berita Harian | Dituduh bunuh suami, kekasih:


Chooi Thin dihadapkan ke   Mahkamah Majistret atas tuduhan bunuh suami, teman wanita suami, semalam.Chooi Thin dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas tuduhan bunuh suami, teman wanita suami, semalam.
Kajang: Seorang ahli perniagaan dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan membunuh suami dan teman wanita suaminya, bulan lalu. 

Yau Chooi Thin, 29, dituduh atas dua tuduhan berasingan membunuh tauke kedai tayar yang juga suaminya, Leong Kian Sheong, 37, dan teman wanita suaminya, Vivien Wong, 20, di sebuah rumah beralamat Nombor 1, Jalan SP 6/3, Taman Segar Perdana, Batu 9, Cheras di sini. 
Tertuduh yang direman sejak tujuh hari lalu, dituduh melakukan kesalahan itu bersama dua lagi yang masih bebas antara jam 6.10 dan 6.45 pagi pada 13 September 2012. 

Bagi tuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 149 Kanun sama, yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. 

Tiada pengakuan direkod 

Sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di dalam Bahasa Mandarin, tertuduh mengakui memahami tuduhan yang dikenakan terhadapnya, namun tiada pengakuan direkodkan. 

Majistret Aina Azahra Arifin menetapkan 5 Disember ini untuk pengurusan kes bagi mendapatkan laporan forensik dan kimia kerana kertas siasatan kes itu turut membabitkan empat lagi tertuduh yang dituduh minggu lalu melakukan kesalahan sama. 
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, R Siamalah, manakala semua tertuduh diwakili peguam, Geethan Ram Vincent. 

Minggu lalu, empat lelaki iaitu pekerja sendiri, Ismail Ahmad, 58; pemandu teksi, S Dheepak, 27; penjaga kafe internet, S Sandrasagran, 37, dan pengawal keselamatan tapak pembinaan, V Rajendra Prakash, 33, dituduh atas dua tuduhan berasingan membunuh pasangan kekasih itu.

No comments:

Post a Comment