Wednesday, November 14, 2012

13 sindiket Afrika tipu internet ditahan



Empat daripada lima lelaki Afrika yang ditahan berhubung kes penipuan penjualan barangan di internet dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman untuk disambung tahanan reman di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 12 Nov. - Polis menumpaskan dua sindiket penipuan internet yang dilakukan oleh penjenayah Afrika selepas menahan 13 rakyat negara itu termasuk tiga wanita dalam tiga serbuan di ibu negara dan Nilai, Negeri Sembilan baru-baru ini.
Dalam kes pertama, lapan rakyat Afrika termasuk tiga wanita yang merupakan pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tempatan ditahan pada 31 Oktober dan 1 November lalu kerana dipercayai mencuri dan menggunakan maklumat peribadi kad kredit orang lain bagi membeli barangan mewah menerusi internet.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, antara transaksi yang dilakukan mereka adalah pembelian pakaian, beg, tas tangan berjenama mewah serta perkhidmatan sewa kereta dan pembayaran bil.
Katanya, selepas melakukan transaksi, suspek menggunakan alamat rumah mereka sendiri bagi proses penghantaran sebelum menjual barangan tersebut kepada rakan atau individu yang berminat pada harga rendah.
"Polis menerima maklumat daripada bank memaklumkan pelanggan mereka kehilangan wang melalui transaksi perbankan internet.
"Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan anggota dan pegawai JSJK Bukit Aman telah membuat serbuan di dua premis di Subang Jaya dan berjaya menahan lapan suspek berusia antara 22 dan 28 tahun," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Syed Ismail, polis sedang mengesan pihak yang 'menjual' maklumat peribadi kad kredit tersebut kepada suspek dan mereka dipercayai berkomunikasi menerusi laman sembang Yahoo Messenger dan Skype manakala setiap maklumat mangsa dijual pada harga AS$20 (RM60).
Dalam satu lagi kejayaan, kata beliau, lima lelaki Afrika ditahan kerana menggunakan identiti syarikat lain untuk mengiklan serta menjual barangan atas talian di Nilai kelmarin.
Penjenayah kolar putih itu dikesan menggunakan laman niaga seperti mudah.my dan alibaba.com sehingga menyebabkan kerugian kepada pembeli sebanyak RM1.86 juta.
"Polis menerima 49 aduan syarikat yang nama mereka digunakan dan pejabat Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di luar negara yang turut menerima e-mel daripada suspek.
"Modus operandi sindiket ini adalah mengiklankan produk tersebut menggunakan nama syarikat sebenar, namun memaparkan alamat e-mel serta nombor telefon milik ahli kumpulan itu.
''Mereka akan menawarkan harga yang lebih rendah dan meminta pembeli memasukkan wang sebanyak 30 peratus sebagai pendahuluan ke dalam akaun ahli kumpulan itu. Pembeli hanya menyedari tertipu setelah barang yang dipesan tidak diterima," jelasnya.
Kata Syed Ismail, siasatan awal mendapati kumpulan itu menawarkan produk sarung tangan getah klinikal sahaja.
"Namun, polis percaya masih banyak aktiviti penipuan dilakukan mereka kerana mangsa terdiri daripada syarikat serta individu yang beroperasi di luar negara seperti Greece, Australia, Mesir dan India," katanya.
Beliau memberitahu, kelima-lima suspek yang berusia antara 27 dan 31 tahun dilanjutkan tempoh tahanan reman hari ini bagi membantu siasatan kes tersebut.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas barangan yang digunakan untuk kegiatan penipuan antaranya komputer riba dan telefon bimbit.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 dan 511 Kanun Keseksaan kerana menipu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121113/je_04/13-sindiket-Afrika-tipu-internet-ditahan#ixzz2CBDpR39C
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment