Wednesday, November 14, 2012

Dadah: Pemandu teksi ditahan



Adnan Azizon (tengah) bersama dua pegawainya menunjukkan sebahagian daripada dadah yang dirampas dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, semalam. - Ihsan China Press
KUALA LUMPUR 12 Nov. - Seorang pemandu teksi ditahan kerana memiliki sejumlah 19,750 biji pil Eramin 5 bernilai RM395,000 dalam serbuan di tempat letak kereta di sebuah hotel terkemuka di Jalan Ipoh, Jumaat lalu.
Hasil pemeriksaan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, kesemua dadah berkenaan ditemui di dalam beberapa buah kotak di but teksinya.
Timbalan Ketua JSJN Kuala Lumpur, Supritendan Adnan Azizon berkata, suspek warga tempatan dan berusia 45 tahun itu dipercayai seorang pengedar dadah yang aktif di sekitar Lembah Klang.
"Setakat ini, kita percaya dia menggunakan teksi terbabit untuk melakukan aktiviti pengedaran dadah dan kita sedang menyiasat rangkaiannya dan punca bekalan dadah itu diperoleh.
"Saringan awal urin suspek mendapati dia positif methamphetamine," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Selain itu, Adnan juga memberitahu, sepanjang minggu lalu, polis menumpaskan beberapa kes pengedaran dadah bernilai lebih RM400,000.
Katanya, pada 2 November lalu, satu tangkapan terhadap tiga lelaki di Jalan Conlay, di sini berjaya menyekat satu kegiatan pengedaran dadah jenis syabu.
"Dua daripada mereka ditahan di dalam sebuah hotel mewah di situ dan pemeriksaan di premis berkenaan mendapati dua bungkusan syabu seberat 1,720 gram yang bernilai RM225,000 telah ditemui.
"Selain itu, pada 5 November lalu, sepasukan polis dari JSJN telah menangkap seorang warga Indonesia yang berusia 38 tahun dan telah merampas lima peket dadah dipercayai heroin seberat 2,264 gram yang bernilai RM57,000," katanya.
Selain itu, Adnan memberitahu, pihaknya juga telah merampas sejumlah 3,390 biji pil ekstasi bernilai RM135,600 setelah menahan seorang lelaki tempatan yang berusia 27 tahun di Jalan PPRT Seri Alam, Off Jalan Sungai Besi, Khamis lalu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121113/je_01/Dadah-Pemandu-teksi-ditahan#ixzz2CBCP9d3q
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment