Thursday, November 29, 2012

'Anak kecil usap mayat ibu'

Yousef Ghaben
Yousef Ghaben
Kuala Lumpur: “Saya lihat anak kecil ini berdiri di sebelah mayat ibunya sambil mengusap kepala ibunya yang disangka masih hidup,” kata wartawan penyiaran sambilan stesen televisyen al-Aqsa, Yousef Ghaben.

Yousef, 26 dari Gaza berkongsi pengalaman mengenai keganasan Israel yang tidak dapat dilupakan dalam hidupnya, selepas melihat sendiri kekejaman rejim Zionis.
Katanya, masyarakat dunia boleh membayangkan begitu dahsyatnya keganasan yang dilakukan oleh mereka terhadap rakyat Gaza tanpa berperikemanusiaan.


“Israel sering menyasarkan untuk membunuh sebanyak mungkin orang awam yang tidak mampu melawan mereka terutama kanak-kanak dan wanita.

“Bukan itu saja, rejim Zionis turut memusnahkan kediaman penduduk, selain infrastruktur negara kami. Setakat ini, dianggarkan lebih 200,000 bangunan sudah dimusnahkan oleh mereka,” katanya ketika ditemui BH sempena lawatan seminggu ke negara ini untuk menerangkan keadaan di Gaza kepada pelbagai pihak.

Baru-baru ini, konflik lapan hari mengorbankan 162 warga Palestin dan lima penduduk Yahudi sebelum Israel dan Hamas bersetuju melaksanakan gencatan senjata pada 22 November lalu.

Yousef berkata, beliau juga tidak dapat melupakan kejadian mengenai seorang doktor tidak mengetahui anaknya menjadi mangsa pengeboman Israel sehingga dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
“Doktor itu terkejut serta berusaha untuk menyelamatkan nyawa anaknya, tetapi beliau gagal diselamatkan dan saya sedih melihatnya, ” katanya.

Sementara itu, Yousef berharap lebih banyak badan bukan kerajaan (NGO) akan menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada negara berkenaan kerana ia sudah musnah sekarang.

No comments:

Post a Comment