Friday, November 23, 2012

Banyak bukti Israel laku jenayah perang



Kuala Lumpur: Suruhanjaya Jenayah Perang Kuala Lumpur (KLWCC) Mengenai Palestin semalam diberitahu ada banyak bukti jelas Israel melakukan kesalahan jenayah perang dan kemanusiaan terhadap rakyat Palestin.

Ketua Pendakwa, Profesor Gurdial Singh Nijar, berkata pembunuhan 3,500 rakyat Palestin di Kem Pelarian Sabra dan Shatilla di Beirut pada 1982 sudah mencukupi untuk mendakwa rejim itu.
Sehubungan itu, beliau meminta suruhanjaya mengambil tindakan segera dengan mengeluarkan laporannya untuk mendakwa pihak yang bertanggungjawab terhadap tragedi itu.

“Ini adalah satu jenayah pembunuhan beramai-ramai, dengan itu keadilan hendaklah ditegakkan dan kami merayu supaya bukan hanya pegawai tentera, malah negara Israel dan semua pihak yang bersekongkol dengannya dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Sementara itu, Profesor Francis A Boyle yang juga ketua pendakwa bersama, bimbang pembunuhan akan terus berlaku sehingga seluruh penduduk Palestin dihalau keluar dari tanah air mereka sendiri jika tiada tindakan diambil ke atas Israel.

Prosiding semalam diselubungi suasana sedih apabila dua saksi wanita memberikan keterangan berhubung pembunuhan beramai-ramai di Kem Sabra dan Shatilla oleh militia Kristian Lubnan dan Tentera Lubnan Selatan (SLA) di bawah pengawasan dan bantuan tentera Israel.

Anne Sunde, 44, seorang warga Norway yang pernah menjadi sukarelawan di Shatilla, dengan nada sebak memberitahu suruhanjaya beliau amat kesal kerana terpaksa meninggalkan sekumpulan penduduk Palestin yang dikumpulkan di tepi jalan selepas diarahkan askar untuk meninggalkan kawasan terbabit.
“Pada waktu itu saya merasa berat hati untuk meninggalkan mereka dan sehingga sekarang saya masih diselubungi perasaan bersalah... saya dan sukarelawan warga asing kemudian membawa bersama beberapa kanak-kanak dan dua bayi keluar daripada kawasan itu.

“Apabila kembali semula ke kem beberapa hari kemudian, saya dapati timbunan mayat lelaki, wanita dan kanak-kanak serta bangkai haiwan di sepanjang jalan... keadaan amat sukar digambarkan,” katanya.

Chahira Abouardini, 54, menangis teresak-esak sambil menceritakan bagaimana kakak dan bapanya ditembak dengan kejam oleh militia, manakala suami, abang dan sepupunya diarahkan berbaris di luar rumah sebelum ditembak beramai-ramai.

Chahira berkata, dalam perjalanan ke Kompleks Sukan atas arahan militia, beliau melihat mayat sepupu perempuannya yang sarat mengandung terbaring di atas jalan dengan perutnya dibelah dan bayinya yang sudah meninggal dunia diletakkan di atas perutnya.

“Ariel Sharon (bekas Perdana Menteri Israel yang ketika kejadian adalah Menteri Pertahanan) sudah menerima balasannya (beliau kini koma), saya harap bukan hanya beliau malah seluruh negara Israel dipertanggungjawabkan atas apa yang berlaku,” katanya.

No comments:

Post a Comment