WASHINGTON: Seorang jeneral empat bintang yang mengetuai Pusat Pemerintah AS Afrika diturunkan pangkat atas beberapa dakwaan membelanjakan ratusan ribu dolar untuk perjalanan mewah, kata pegawai Pantagon, semalam.
Setiausaha Pertahanan, Leon Panetta, melucutkan pangkat Jeneral Wiliam “Kip” Ward dan meminta beliau membayar kembali AS$82,000 (RM250,900) kerana menggunakan wang perjalanan Pentagon secara tidak wajar, kata pegawai yang mahu namanya dirahsiakan. Jeneral empat bintang itu akan “pencen dengan pangkat leftenan jeneral” iaitu jawatan tiga bintang, kata Pegawai Kanan Pertahanan. Laporan Ketua Merinyu Jabatan Pertahanan Jun lalu melaporkan, perbelanjaan perjalanan berlebihan itu termasuk menerbangkan isteri Ward untuk urusan perniagaan yang panjang.
Satu lagi perbelanjaan di Bermuda, termasuk menyewa suite hotel AS$747 (RM2,287) semalam di Fairmont Hamilton Princess. Isterinya juga dikatakan menggunakan kenderaan berperisai tanpa kebenaran.
Ward, komander AFRICOM pertama bertugas di Stuttgart, pada 2007-2011 menafikan dakwaan berkenaan. Dia kini bertugas sebagai Pembantu Khas Timbalan Ketua Turus Tentera AS.
Laporan Ketua Merinyu itu mendapati Ward pergi ke Washington dan Atlanta selama 11 hari bersama sekumpulan anggota tentera dengan kos AS$129,000 (RM394,795) di mana hanya tiga hari sepanjang perjalanan itu adalah atas tugas rasmi. Sebab utama perjalanan itu adalah hal peribadi.
Isteri Ward turut terbang dengan pesawat tentera untuk 52 daripada 79 perjalanan. Laporan itu turut menyatakan Ward melanjutkan perjalanan tujuh kali atas sebab peribadi di mana wang pembelanjaan perjalanan dibayar kembali kepadanya. - AFP
No comments:
Post a Comment