Thursday, November 15, 2012

Rekod cukai anak Presiden disiasat



 
Seoul: Pendakwa raya Korea Selatan berkata semalam mereka akan merujuk anak tunggal lelaki Presiden Lee Myung-Bak kepada pihak berkuasa cukai ketika menyerahkan pendakwaan berhubung satu perjanjian jual beli tanah untuk rumah persaraan Lee.

Walaupun Lee Si-Hyung bukan di kalangan tiga orang yang didakwa, pendakwa raya berkata rekod cukainya akan diperiksa untuk kemungkinan mengelak cukai hadiah terhadap bantuan kewangan yang diterimanya daripada anggota keluarga untuk membantu membeli sebuah tapak rumah.
Lee Si-Hyung diisytiharkan bebas daripada disyaki melanggar undang-undang hartanah, kata pendakwa raya khas Lee Kwang-Bum kepada media.

Namun kami memutuskan untuk menyerahkan dokumen kepada Perkhidmatan Cukai Negara berikutan disyaki mengelak cukai hadiah, katanya.

Mereka yang dituduh didakwa atas pelbagai kesalahan pecah amanah berkaitan
jual beli tanah termasuk bekas ketua perkhidmatan keselamatan presiden, Kim In-Jong.

Pendakwaan itu diikuti siasatan selama sebulan oleh pendakwa raya khas terhadap dakwaan penyelewengan dalam pembelian tanah di pinggir selatan ibu kota ini.
Ia bakal digunakan untuk membina sebuah rumah persaraan buat Lee, yang akan melepaskan jawatannya Februari depan selepas berkhidmat selama lima tahun, yang dibenarkan mengikut perlembagaan.

Lot tanah itu dibeli secara bersama oleh anak lelaki presiden Si-Hyung dan perkhidmatan keselamatan presiden, yang mungkin menempatkan ejennya di tapak untuk melindungi bekas pemimpin itu.

Namun pendakwa raya berkata kos itu tidak dibahagikan dengan adil, dengan perkhidmatan keselamatan membayar harga terlalu tinggi daripada dana awam untuk perkongsiannya sementara anak lelaki Lee mendapat kadar di bawah pasaran untuk plot kediaman itu.
AFP

No comments:

Post a Comment