Saturday, December 22, 2012

66 peratus rakyat Israel tolak negara Palestin




         
BAITULMAQDIS: Dua pertiga rakyat Israel menolak penubuhan negara Palestin di Tebing Barat.

Hasil Kajian oleh Maagar Mohot yang disiarkan oleh akhbar Maariv menunjukkan 66 peratus rakyat Israel berkata mereka tidak menyokong penubuhan negara Palestin sementara jumlah yang menyokong hanya 11 peratus.
Hampir separuh atau 51 peratus berkata, mereka akan menyokong pembinaan penempatan baru Yahudi di kawasan sensitif di Tebing Barat yang dikenali sebagai E1, yang terletak antara Baitulmaqdis Timur dan kawasan penempatan Maaleh Adumim.

Sembilan peratus berkata, mereka menolak langkah berkenaan. Empat puluh peratus lagi tidak dapat membuat keputusan.


Tiga minggu lalu, Israel berkata ia merancang membina beribu-ribu rumah untuk penempatan baru di kawasan berkenaan.


Rancangan itu mendapat kecaman antarabangsa kerana ia akan menjejaskan penubuhan negara Palestin pada masa akan datang.

Dengan hanya lima minggu menjelang pilihan raya umum pada 22 Januari akan datang, kajian itu juga mendapati sokongan berterusan terhadap parti Likud-Beitenu pimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu yang dijangka memenangi 37 daripada 120 kerus, kurang satu daripada kajian minggu lalu.

Parti Buruh, menguasai 20 kerusi, sementara parti nasionalis yang menyokong pembinaan penempatan Yahudi, Jewish Home, meningkat dari satu kepada 12 kerusi.

Parti ultra ortodoks, Shas hilang satu kerusi daripada 12. - AFP

No comments:

Post a Comment