GAZA: Sifat gigih serta kental menghadapi hidup sukar di zon perang membuatkan rakyat Gaza kini lebih berdaya saing dan mampu membangunkan ekonomi dalam tempoh singkat.
Berbanding tiga tahun lalu, bandar Gaza kini jelas lebih maju apabila semakin banyak premis perniagaan baru dibuka, malah wujud berpuluh butik pakaian terkenal yang beroperasi di bandar ini.
Suasana perniagaan itu dianggap luar biasa bagi orang luar yang menyangka bandar Gaza tidak ubah seperti bandar mati berikutan kerap menjadi sasaran serangan tentera Israel.
Peniaga runcit warga Gaza, Innas Khanjil, 28, yang ditemui berkata, perkembangan positif ekonomi Gaza kini hasil keringat dan sikap tidak putus asa penduduk Islam untuk melihat bandar itu membangun sama seperti kota lain.
Menurutnya, ramai menyangka bandar Gaza dipenuhi tanah perkuburan mangsa perang serta bangunan rosak dibedil Israel.
“Namun jika diamati, bandar Gaza berubah wajah dan hampir mempunyai semua kemudahan asas seperti elektrik, air, pengangkutan awam dan telekomunikasi.
“Malah, semua bangunan atau kemudahan asas yang dimusnahkan Israel dalam serangan terakhir pada 28 Disember 2008, berjaya dibaik pulih,” katanya.
Dakwaannya berasas apabila rata-rata bangunan milik kerajaan Palestin, rumah atau balai polis yang dibedil bom Israel tiga tahun lalu dibaik pulih.
“Gaza yang dulunya suram kini memiliki berpuluh-puluh premis Islamic National Bank, stesen petrol Al Hadddad, lebih 20 hotel serta restoran mewah.
“Keadaan ini jauh berbeza berbanding tiga tahun lalu dan ia membuktikan rakyat semakin serius dalam memacu ekonomi negara,” katanya.
Sementara itu, wartawan Metro Ahad yang meninjau sekitar bandar Gaza turut kagum apabila semakin banyak premis perniagaan baru dibuka, terutama membabitkan salun kecantikan, kedai alatan elektrik, pusat jualan dan pameran kereta Volkswagen, selain puluhan restoran makanan Barat dan Asia Barat.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment