Sunday, December 9, 2012

Pertempuran di lapangan terbang

Pertempuran di lapangan terbang:


Beberapa buah kenderaan ranap selepas berlaku satu letupan dekat Masjid Quba di bandar Homs, kelmarin menyebabkan 15 orang cedera. - REUTERS
BEIRUT 8 Dis. - Pemberontak Syria menyerang Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik, semalam bagi menyekat bekalan senjata kepada tentera kerajaan dalam kempen menggulingkan Presiden Bashar al-Assad, memaksa laluan utama ke lapangan terbang itu ditutup.
Pemberontak mendakwa tentera kerajaan menempatkan tentera, pasukan elit dan juga pesawat mengangkut senjata di lapangan terbang itu untuk dikerah ke seluruh negara.
Kehilangan kawalan ke atas lapangan terbang itu bakal memberi tamparan hebat kepada tentera kerajaan, yang sebelum ini kehilangan dua pangkalan udara dekat Damsyik.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon semalam berkata, sebarang penggunaan senjata kimia oleh tentera Assad dalam usaha menumpaskan pemberontakan merupakan 'jenayah melampau.'
"Seandainya perkara tersebut berlaku, ia merupakan jenayah melampau atas nama kemanusiaan," katanya dalam satu sidang media selepas melawat kem pelarian Syria di Islahiye di sempadan Turki.
Beliau berkata, laporan tentang kerajaan Syria bersedia menggunakan senjata kimia sudah diterima, bagaimanapun ia masih belum disahkan.
Lawatan Ki-moon itu diadakan ketika semua pihak, termasuk Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama memberi amaran kepada Assad agar tidak menggunakan senjata kimia bagi menentang pemberontak.
Pemimpin PBB itu yang terbang dari Turki selepas melawat Jordan pagi semalam menegaskan bahawa beliau sudah menulis kepada Assad dan mendesak agar tidak menggunakan senjata tersebut, walau dalam keadaan apa sekali pun. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121209/lu_01/Pertempuran-di-lapangan-terbang#ixzz2EY9dSLtV
© Utusan Melayu (M) Bhd 

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment