Tuesday, December 4, 2012

Ganti rugi bekas tahanan ISA dikurangkan kepada RM300,000 - Semasa - Sinar Harian

Ganti rugi bekas tahanan ISA dikurangkan kepada RM300,000 - Semasa - Sinar Harian:
PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengekalkan keputusan bekas tahanan Akta Kelamatan Dalam Negeri (ISA) Badrul Zaman P.S. Mohamad yang ditahan menyalahi undang-undang tetapi mengurangkan jumlah ganti rugi yang diberikan kepadanya dari RM3.3 juta kepada RM300,000.
   
Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad yang mengetuai panel  hakim tiga anggota sebulat suara menolak rayuan yang dikemukakan superintenden Pusat Tahanan Kamunting, timbalan menteri Dalam Negeri dan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan penahanan Badrul Zaman menyalahi undang-undang dan tidak mengikut perlembagaan.
   
Bagaimanapun, panel itu, yang terdiri daripada Hakim Datuk Abdul Wahab Patail dan Datuk Mohamad Ariff Md Yusof membenarkan rayuan mereka berhubung kuantum.
   
"Keputusan Mahkamah Tinggi berhubung kuantum (memberi RM3.3 juta kepada Badrul Zaman) diketepikan dan digantikan dengan anugerah RM300,000," kata Syed Ahmad Helmy.
   
Mahkamah juga memerintahkan Badrul Zaman dibayar lapan peratus faedah setahun dari tarikh kes saman itu difailkan pada 30 Nov 1994 sehingga kes itu selesai.

Mahkamah juga memberi RM15,000 kos guaman kepada Badrul Zaman.
   
Sebaik mendengar keputusan itu, Badrul Zaman berdiri dan mengucapkan terima kasih kepada panel hakim.   
   
Peguam Badrul Zaman, M.Manoharan yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Kota Alam Shah memberitahu pemberita selepas prosiding bahawa dengan faedah, jumlah ganti rugi yang bakal diperoleh anak guamnya mencecah lebih RM800,000.
   
Manoharan yang juga bekas tahanan ISA berkata beliau gembira tahanan anak guamnya diisytiharkan menyalahi undang-undang, tetapi berkata beliau akan membawa isu berhubung kuantum ke Mahkamah Persekutuan.
   
Badrul Zaman ditahan selama tiga tahun dari 1991, atas dakwaan terbabit dengan pengeluaran permit dan pasport palsu kepada pekerja asing.   
   
Perintah tahanannya dilanjutkan untuk tempoh dua tahun lagi berkuat kuasa 14 September 1993.
   
Dalam saman itu, plaintif menyatakan bahawa beliau tidak mencabar kesahihan perintah penahanan pertama selama dua tahun.
   
Bagaimanapun, beliau mencabar perintah tempoh lanjutan penahanan itu untuk tempoh dua tahun lagi yang dikeluarkan timbalan menteri Dalam Negeri.
   
Beliau dibebaskan pada 1994 selepas Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membenarkan permohonan habeas corpusnya.
   
Peguam kanan persekutuan Suzana Atan mewakili superintenden Pusat Tahanan Kamunting, timbalan menteri Dalam Negeri dan kerajaan. - Bernama
'via Blog this'

No comments:

Post a Comment