Tuesday, December 4, 2012

Perancis, Britain panggil duta Israel

Kosmo! Online - Dunia:


SEORANG lelaki Israel berjalan di kawasan penempatan Yahudi di Maale Adumin, dekat Baitulmuqaddis kelmarin.


PARIS - Perancis dan Britain memanggil duta Israel semalam ketika tekanan diplomatik ke atas Israel terus meningkat berhubung rancangannya untuk membina 3,000 kediaman peneroka haram Yahudi di timur Baitulmuqaddis dan Tebing Barat, Palestin.
Jerman dan Rusia turut melahirkan kebimbangan berhubung rancangan Israel itu yang disifatkan oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon akan memusnahkan pelan damai Asia Barat.
Israel berdepan gelombang bantahan diplomatik selepas cadangan pembinaan tersebut ditimbulkan pada Jumaat lalu bagi membalas pengiktirafan Palestin sebagai negara pemerhati bukan anggota PBB oleh badan dunia itu.
Sebahagian projek penempatan itu akan didirikan di koridor tanah di timur Baitulmuqaddis yang dinamakan E1 yang mana penempatan haram baharu Yahudi akan memisahkan Tebing Barat kepada dua bahagian.
Jurucakap Kementerian Luar Perancis, Philippe Lalliot berkata, Duta Israel, Yossi Gal dipanggil agar Perancis dapat menyatakan kebimbangan serius berhubung projek penempatan tersebut.
"Pembinaan di kawasan E1 akan menjejaskan penyelesaian dua negara (Israel-Palestin) dengan meminggirkan Baitulmuqaddis dari Tebing Barat sekali gus mengancam wilayah dan masa depan penduduk Palestin," kata Lalliot.
"Kami kesal dengan keputusan pemerintah Israel untuk membina 3,000 unit rumah baharu dan meneruskan pembangunan di kawasan E1 yang sebelum ini dibekukan," kata Jabatan Luar Britain.
Amerika Syarikat dan Belgium turut melahirkan kebimbangan berhubung penempatan Yahudi tersebut dengan Ki-moon memberi amaran bahawa projek berkenaan melanggar undang-undang antarabangsa. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1204&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2E2L0V2MU 
Hakcipta terpelihara 

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment