SYDNEY - Dua penyampai radio Australia yang membuat panggilan palsu ke sebuah hospital London yang merawat isteri Putera William, Kate, menyatakan semalam bahawa mereka kesal mendengar berita kematian seorang jururawat pusat rawatan berkenaan.
Penyampai radio 2DayFM, Mel Greig dan Michael Christian sebelum ini bersembunyi dan menjalani rawatan kaunseling sejak jenaka mereka mencetuskan kemarahan di seluruh dunia berikutan laporan bahawa jururawat itu, Jacintha Saldanha telah membunuh diri.
Dalam wawancara bersama sebuah stesen televisyen Australia, di sini, kedua-duanya mula bersuara susulan kematian Saldanha di London pada minggu lalu setelah program mereka dibatalkan pemilik 2Day FM manakala semua panggilan jenaka oleh badan penyiar itu turut dihentikan.
Greig memberitahu dalam keadaan sebak bahawa dia kesal apabila diberitahu jururawat kelahiran India itu sudah mati.
"Saya mengingati detik itu dengan baik sekali kerana saya tidak dapat berhenti daripada berfikir tentang peristiwa tersebut sejak ia berlaku.
"Saya masih ingat lagi soalan pertama saya apabila mendengar perkhabaran tersebut iaitu adakah dia seorang ibu?," katanya kepada saluran televisyen Seven Network dalam program Today Tonight.
Dalam satu wawancara berasingan dalam program A Current Affair menerusi saluran Nine Network, Greig pula berkata: "Terlintas dalam fikiran saya untuk menemui mereka (keluarga Saldanha), memeluk mereka dan memohon maaf. Saya berharap mereka berada dalam keadaan baik, saya ikhlas meluahkannya."
Panggilan daripada Greig dan Christian yang menyamar sebagai pemerintah Britain, Ratu Elizabeth II dan anakandanya, Putera Charles dijawab oleh Saldanha, 46, di Hospital King Edward VII di London.
Ibu dua anak itu kemudian menyambungkan panggilan itu kepada rakan sekerjanya yang mendedahkan butiran mengenai keadaan Kate yang semakin sembuh selepas mengalami loya yang teruk.
Kate merupakan menantu Ratu Elizabeth II.
Saldanha seterusnya ditemui mati di kediaman untuk kakitangan hospital tersebut tetapi polis Britain enggan mengesahkan sama ada dia membunuh diri kerana kes tersebut masih disiasat.
Suami jururawat itu, Ben Barboza, 49, yang merupakan seorang akauntan sebelum ini menyatakan hatinya berkecai ekoran kematian isterinya itu dalam keadaan tragis.
Christian juga mengaku dia kesal dengan kejadian itu.
"Terkejut, kesal dan hancur luluh... kami menghulurkan simpati kepada keluarga dan rakan-rakan Saldanha," ujarnya.
Kematian Saldanha mencetuskan kemarahan terhadap stesen radio berkenaan dan kedua-dua penyampainya walaupun pihak 2Day FM memberitahu, tiada siapa yang dapat menjangka tragedi itu berlaku.
Ketua Pegawai Eksekutif Southern Cross Austereo yang memiliki stesen radio itu, Rhys Holleran memberitahu, pihaknya telah menghubungi Hospital King Edward VII sebanyak lima kali untuk berbincang tentang panggilan tersebut sebelum ia disiarkan.
Menurut Holleran, beliau berpuas hati dengan semakan yang dilakukan oleh pihaknya sebelum segmen perbualan telefon itu ke udara.
"Adalah benar bahawa kami telah beberapa kali mencuba untuk menghubungi pihak hospital berkenaan," jelas Holleran kepada stesen radio tempatan, Fairfax.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan sama ada pihaknya menerima maklum balas daripada pihak Hospital King Edward VII.
Susulan kematian Saldanha, sebahagian akhbar Britain mengecam jenaka Greig dan Christian menyebabkan ramai pengguna internet menuduh mereka menjadi penyebab kematian Saldanha.
Namun, dakwaan tersebut dibidas oleh media Australia yang menyatakan media Britain sengaja menjadikan kedua-dua penyampai radio berkenaan sebagai kambing hitam dalam tragedi tersebut. - Agensi
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1211&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2EkYWBPdS
Hakcipta terpelihara
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment