Monday, February 25, 2013

Tentera Syria lancar peluru berpandu, 58 maut



BEIRUT, 24 Feb. - Tentera Syria melancarkan tiga peluru berpandu di bandar utara Aleppo mengakibatkan 58 orang terbunuh, termasuk 36 kanak-kanak, kata seorang pemerhati, hari ini.
Pemerhati Syria bagi Hak Asasi Manusia memberi angka korban terbaru itu, selepas lebih banyak mayat wanita dan kanak-kanak dikeluarkan daripada runtuhan bangunan di daerah Tariq al-Bab, yang menjadi sasaran peluru berpandu itu pada Jumaat lalu.
Aktivis berkata, peluru berpandu itu dilancarkan dari pangkalan tentera dekat Damsyik, walaupun laporan itu tidak dapat disahkan.
Seorang pegawai keselamatan di Damsyik memberitahu AFP pada akhir tahun lalu, tentera Syria telah membina peluru berpandu Scud yang diubahsuai, sementara NATO pernah melaporkan penggunaan peluru berpandu balistik di negara itu.
Menurut badan pemerhati itu, tentera Syria menggunakan peluru berpandu itu sebagai sebahagian usaha untuk menggempur kawasan kediaman di timur Aleppo, yang hampir dikuasai kumpulan pemberontak.
Jumaat lalu, kumpulan pemberontak, Perikatan Kebangsaan Syria menyelar kuasa-kuasa dunia berikutan serangan peluru berpandu itu dan mengumumkan pemulauan terhadap satu mesyuarat antarabangsa.
Ketua perikatan itu, Ahmed Moaz al-Khatib berkata, pemulauan itu sebagai "protes kepada semua kerajaan dunia ..." yang tidak berbuat apa-apa menghentikan pembunuhan ke atas rakyat Syria.
Kumpulan itu dijadual menghadiri mesyuarat Sahabat-sahabat Syria di Rom pada Khamis ini, sementara Khatib turut diundang melawat Moscow dan Amerika Syarikat (AS).
"Kami tidak boleh melawat mana-mana negara sehingga terdapat keputusan jelas berhubung tindakan ke atas rejim yang kejam ini," kata Khatib merujuk kepada pentadbiran Presiden Bashar al-Assad.
Perikatan itu turut mengecam Rusia, sekutu Damsyik sambil menyatakan pemimpin-pemimpin Rusia, "secara etika dan politik bertanggungjawab atas apa yang berlaku kerana mereka terus memberi sokongan kepada rejim (Syria) dengan memberi senjata".
Jurucakap Jabatan Negara AS, Victoria Nuland, semalam mengutuk serangan peluru berpandu itu, sambil menyifatkannya "perkembangan terbaru keganasan rejim Syria dan tindakan tidak berperikemanusiaan terhadap rakyat Syria."
Sementara itu, sekurang-kurangnya 110 orang terbunuh dalam pertempuran di seluruh Syria semalam, — 46 terdiri daripada orang awam, 35 pemberontak dan 29 tentera kerajaan, kata badan pemerhati itu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130225/lu_02/Tentera-Syria-lancar-peluru-berpandu-58-maut#ixzz2LvKCEH5X
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment