Wednesday, March 27, 2013

Khianat tak sudah




Lahad Datu: Polis mengesan sesetengah individu di Semporna dan Sandakan yang menjadi pengkhianat negara dengan menyalurkan sumber kewangan kepada kumpulan pengganas di Pulau Jolo, selatan Filipina.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Ibrahim ketika mendedahkan perkara itu berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu dipercayai bagi membantu aktiviti kumpulan terbabit.


Sehubungan itu, pihaknya memberi amaran keras kepada mereka dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah Khas) 2012 (SOSMA).



“Kita tahu bahawa duit itu dihantar bagi membantu musuh. Tidak kira sama ada jumlahnya kecil atau besar.


“Siapa yang bantu musuh akan tetap dikenakan tindakan sama,” katanya sidang media Op Daulat di Felda Residence Sahabat di sini, semalam.


Sementara itu, Khalid mengesahkan seorang pengganas lelaki ditahan selepas menyerah diri di Kampung Tanjung Batu di sini, kira-kira jam 5 petang, kelmarin.

Beliau berkata, ketika ditahan, pengganas itu berada dalam keadaan amat lemah kerana tidak tidur dan tidak makan kira-kira 15 hari.


“Semalam, dia (pengganas) sudah serah diri kerana hilang arah (apabila) tiada arahan daripada ketua, bekalan makanan pula sudah terputus.

“Jadi tindakan terbaik adalah menyerah diri,” katanya sambil berharap lebih ramai pengganas mengikuti langkah sama.


Ketika ditahan, pengganas itu menyerah diri dengan mengangkat kedua-dua tangan dan meminta pasukan keselamatan tidak melepaskan tembakan terhadapnya.


Sumber pasukan keselamatan berkata, sepasukan anggota Grup Gerak Khas (GGK) diiringi dua kereta perisai Adnan dikerah menghampiri pengganas itu sebagai langkah keselamatan bagi memastikan ia bukan perangkap.


Dalam pada itu, Khalid berkata, sehingga kini seramai 429 individu sudah ditangkap sepanjang Op Daulat yang kini memasuki hari ke-22.


Katanya, 42 daripada 116 individu yang ditahan di bawah SOSMA sudah dibebaskan.

No comments:

Post a Comment