Korea Utara
Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un (tengah) sedang melihat model baru kenderaan tentera di sebuah lokasi rahsia di negara itu. Foto: AFP
PYONGYANG - Korea Utara, semalam didakwa sudah bersiap sedia untuk bertempur dengan mengarahkan unit pelancar roket strategik untuk membuat persediaan bagi melancarkan serangan ke atas tanah besar Amerika Syarikat (AS).

Dipetik Al-Jazeera, Pyongyang turut mengancam untuk menyerang Korea Selatan dan pangkalan tentera AS termasuk di Guam dan Hawaii.

Media melaporkan perintah tertinggi  tentera itu dikeluarkan   sebagai tindak balas terhadap AS dan Korea Selatan yang mengadakan latihan bersama ketenteraan, awal bulan lalu.

Pengumuman tersebut dibuat sehari selepas  Seoul dan Washington menandatangani perjanjian baru berhubung respons bersama terhadap sebarang  serangan atau provokasi Pyongyang pada masa hadapan.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan Korea Selatan mengesahkan tiada tanda berlaku aktiviti luar biasa di Pyongyang, namun mereka akan terus memantau perkembangan situasi tersebut.

Sebelum ini, Korea Utara pernah mengancam untuk melancarkan serangan balas ke atas AS selepas mendakwa mereka membuat persediaan perang dengan menggunakan pesawat pengebom B-52  yang dikesan terbang di ruang udara negara terbabit.