MEIKTILA 25 Mac - Rusuhan agama yang tercetus sejak beberapa hari lalu di sini, dilaporkan semakin buruk apabila keganasan tersebut merebak ke dua lagi bandar berhampiran Meiktila pada minggu lalu.
Stesen televisyen tempatan semalam melaporkan, kumpulan perusuh membakar masjid dan 50 kediaman di bandar Yamethin, kira-kira 64 kilometer dari Meiktila dan insiden sama turut berlaku di bandar Lewei.
Kerajaan meletakkan angka korban kini seramai 32 orang, manakala lebih 10,000 kehilangan tempat tinggal.
Polis turut menahan 35 suspek yang disyaki terlibat dalam keganasan yang berlaku di bandar raya ini.
Peningkatan keganasan agama itu secara tidak langsung memberi cabaran kepada pasukan keselamatan untuk menstabilkan keadaan.
Tahun lalu, kejadian serupa turut berlaku di negeri Rakhine, membabitkan etnik Islam Rohingya dan penduduk beragama Buddha.
Beberapa pakar analisis berpendapat, rusuhan agama yang sering berlaku di negara ini boleh menjejaskan pembangunan Myanmar.
"Rusuhan keganasan yang berlaku di Meiktila menunjukkan keadaan tegang antara penduduk Islam dengan penduduk beragama Buddha di negara ini tidak hanya tertumpu di Rakhine sahaja.
"Jika Myanmar ingin merealisasikan impian untuk menjadi sebuah negara demokratik, mereka perlu berlaku adil terhadap semua lapisan masyarakat yang ada di negara ini," kata Jim Della-Giacoma dari Kumpulan Krisis Antarabangsa. - AGENSI
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130326/lu_05/Rusuhan-agama-di-Meiktila-merebak#ixzz2OkrFvX6R
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment