Friday, May 24, 2013

3 wanita berani


London: Tidak berapa lama selepas pembunuhan kejam seorang anggota tentera itu berlaku, tiga wanita bertindak membela nasib mangsa.

Tanpa mempedulikan keselamatan diri, mereka berdepan dengan suspek pembunuh dan membantu mangsa dengan berdoa untuknya serta mengelak pembunuhan lebih buruk daripada berlaku.
Seorang saksi berkata, dia melihat seorang wanita berusia 50-an mendekati pembunuh terbabit dan meminta izin untuk berada di sisi mangsa.

Joe Tallant memberitahu Daily Mirror: “Dia seorang wanita baik. Dia menyaksikan semua yang terjadi dan mahu menenangkan mangsa. Dia terus berjalan ke arah pembunuh itu tanpa rasa takut.


Dia meletakkan tangannya ke dada mangsa dan saya rasa dia berdoa untuk mangsa. Kepala mangsa terkulai di sebelahnya.


Rakaman siaran berita ITV menunjukkan wanita terbabit duduk di atas jalan raya bersebelahan tubuh mangsa, manakala satu lagi imej menunjukkan dia meletakkan tangannya di belakang mangsa.

Wanita kedua berdiri di sebelahnya dan kelihatan bercakap dengan seorang daripada pembunuh ketika suspek merayau-rayau dengan senjata dan tangan yang berlumuran darah.

Seorang lagi wanita merayu agar dibenarkan berada di situ untuk berdoa untuk anggota tentera yang mati itu, manakala seorang lagi, ibu kepada dua anak, Ingrid Loyau-Kennett bercakap dengan tenang dengan penyerang terbabit.

Ingrid, 48, melompat turun dari bas apabila dia melihat mayat anggota tentera itu terbaring di jalan south-east London, memeriksa nadi mangsa dan cuba untuk berbincang dengan dua lelaki yang menetak mangsa hingga mati.

Selepas merayu mereka agar menyerahkan senjata, seorang daripada penyerang itu berkata: “Kami mahu memulakan perang di London malam ini.”

Ingrid kemudian menjawab: “Sekarang hanya kamu yang menentang ramai orang, kamu akan tewas.”

Sementara itu, sebuah kediaman di kampung Lincolnshire diserbu polis yang menyiasat serangan di Woolwich itu kelmarin. - Daily Mirror

No comments:

Post a Comment