Tentera AS bunuh dua pelajar kolej
Tentera AS dipercayai menembak sekumpulan pelajar di di Azizabad, Shindand.
KABUL - Sekumpulan tentera di bawah pentadbiran Amerika Syarikat (AS) dipercayai melepaskan tembakan ke arah sekumpulan pelajar kolej menyebabkan sekurang-kurangnya dua maut dan berpuluh cedera di Afghanistan.

Menurut pegawai keselamatan wilayah barat Herat, kejadian itu berlaku ketika kumpulan pelajar terbabit sedang menghadiri satu majlis di Azizabad, Shindand.

“Sekumpulan penyiasat dihantar ke lokasi kejadian untuk melakukan siasatan penuh,” katanya kepada AFP.

Akibat daripada kejadian itu, puluhan penunjuk perasaan dilaporkan berkumpul di luar pejabat gabenor bagi mendesak tentera terbabit ditahan dan bertanggungjawab terhadap kejadian itu.

Kehadiran tentera AS di Afghanistan bagi menghapuskan Taliban tidak disenangi sejak kebelakangan ini kerana jumlah kematian terus meningkat walaupun mereka ditugaskan untuk menjaga keselamatan awam.

Mengikut statistik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dalam tempoh enam bulan pertama 2012, lebih 1,140 orang awam terbunuh dan kira-kira 2,000 cedera dengan 30 peratus mangsa adalah wanita dan kanak-kanak.