JAKARTA - Pasukan elit antipengganas Indonesia berjaya merampas lima butir bom buatan sendiri dan menahan dua orang suspek militan yang didakwa merancang untuk menyerang Kedutaan Myanmar di sini, kata polis semalam.
Serangan itu dirancang sebagai bantahan kepada layanan buruk pemerintah Myanmar ke atas masyarakat Islam di negara berkenaan.
Jurucakap Polis Indonesia, BrigedierJeneral Boy Rafli Amar berkata, dua lelaki itu ditangkap di tengah-tengah bandar Jakarta ketika sedang menunggang sebuah motosikal pada tengah malam kelmarin.
Katanya lagi, kedua-dua mereka ditangkap selepas pihak polis menerima maklumat mengenai kedudukan sebenar suspek. Beberapa butir bom dan kabel ditemui di dalam sebuah beg galas yang dibawa mereka.
Hasil soal siasat yang dilakukan ke atas suspek membawa polis ke sebuah rumah sewa yang menjadi lokasi penemuan sejumlah bahan letupan lain.
Seorang wanita dan bayi turut ditahan oleh pihak polis di rumah sewa berkenaan.
Amar berkata, suspek lelaki itu, Ahmad Taufik, 22, dan Sefa Riano, 29, merupakan ahli kumpulan pengganas yang terlibat dalam beberapa serangan baru-baru ini ke atas anggota polis Indonesia.
"Berdasarkan bukti-bukti yang dirampas, mereka mempunyai kaitan dengan aktiviti keganasan. Kami masih menjalankan siasatan dan mengesan beberapa orang ahli kumpulan terbabit," kata Amar. - AP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0504&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2SHQAXJbc
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment