Badan hak asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan tindakan memaksa tahanan di penjara tentera Amerika Syarikat (AS) di Teluk Guantanamo, Cuba makan sebagai ‘penyeksaan.’
Kenyataan itu dikeluarkan ketika jumlah tahanan yang dipaksa makan meningkat kepada 23 orang.
“Ia dianggap sebagai penyeksaan atau layanan tidak berperikemanusiaan. Dalam kes di Guantanamo, ia perbuatan yang amat menyakitkan, maka ia dilarang oleh undang-undang antarabangsa,” kata jurucakap Pesuruhjaya Tinggi PBB mengenai Hak Asasi (UNHCHR), Rupert Coville, semalam.
Coville berkata, keputusan UNHCHR mengambil pendirian itu berdasarkan standard etika Persatuan Perubatan Dunia (WMA), sebuah kumpulan antarabangsa yang mengawasi etika penjagaan kesihatan.
Persatuan itu meminda standard penjagaan kesihatannya pada 1991 yang menyifatkan pemberian makanan secara paksa sebagai bentuk ‘layanan tidak berperikemanusiaan’ dan ‘tidak boleh diterima dari segi etika.’ “Malah jika ia bertujuan untuk kebaikan, memberi makanan dengan mengancam, memaksa atau menggunakan tindakan fizikal adalah satu bentuk layanan tidak berperikemanusiaan,” menurut dokumen WMA.
“Ia juga sama dengan memaksa beberapa tahanan makan dalam usaha memaksa mereka menghentikan mogok lapar.” Coville berkata demikian selepas dua lagi tahanan Guantanamo menyertai 21 rakan mereka melancarkan mogok lapar yang sudahpun diberi makan secara paksa oleh tentera Amerika Syarikat menggunakan tiub menerusi hidung.
Tindakan itu disifatkan oleh tahanan terbabit sebagai amat menyakitkan dan menjatuhkan maruah mereka.
Mereka yang enggan makan diikat pada kerusi sementara pegawai memasukkan secara paksa tiub menerusi hidung mangsa untuk memasukkan zat cecair ke dalam perut mereka.
No comments:
Post a Comment