Salman
Salman pada sidang media, semalam.
IPOH - Pemuda Pas Negeri mendesak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) segera menarik balik larangan penyiaran iklan serta papan iklan (billboard) Manifesto Pakatan Rakyat (PR) di kawasan Station 18 dan berhampiran persimpangan lampu isyarat pusat membeli belah Jusco di Jalan Sultan Azlan Shah Utara.

Setiausahanya, Salman Salleh berkata, penarikan semula larangan itu perlu dilaksanakan serta merta kerana ia adalah antara bahan kempen yang tidak menyalahi peraturan ketika berkempen pada musim pilihan raya kali ini.

Malah menurutnya, papan iklan serta penyiaran iklan itu juga jelas tidak menyalahi undang-undang secara keseluruhannya.

“Kami agak kecewa dengan larangan ini yang tidak sewajarnya dikeluarkan pihak MBI kerana kami telah pun membuat pembayaran serta mendapat kelulusan untuk papan iklan serta penyiaran iklan tersebut.

“Bagi kami dalam tempoh pilihan raya seperti ini, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlulah  bersikap adil dan tidak ‘menurut’ pihak-pihak tertentu dalam hal sebegini kerana kerajaan sementara atau ‘caretaker government’ tidak memiliki kuasa dalam hal-hal ini,” katanya dalam sidang media, semalam.

Sementara itu, Salman turut menggesa agar semua dewan-dewan orang ramai disiasat berikutan ada yang digunakan sebagai bilik gerakan sempena pilihan raya kali ini.

Malah katanya, ketika diajukan soalan, rata-rata pengurusan dewan mengatakan mereka  mendapat kebenaran untuk menggunakan dewan berkenaan.

“Kita juga telah senaraikan dewan-dewan berkenaan dan berharap pihak SPR dapat melakukan siasatan.

“Sekiranya benar mendapat kebenaran, pihak dewan tersebut juga perlu mengemukakan surat kebenaran yang diterima,” katanya.