Tempoh tahanan rumah Musharraf dilanjutkan
Beberapa anggota polis berkawal di luar vila milik Musharraf sejak beliau dikenakan tahanan rumah, bulan lalu.
RAWALPINDI - Bekas Presiden Pakistan, Pervez Musharraf akan kekal berada di bawah tahanan rumah selepas mahkamah, semalam memutuskan untuk melanjutkan tempoh tahanan beliau.

Mahkamah Antikeganasan di Rawalpindi mengarahkan Musharraf ditahan 14 hari lagi berhubung kes pembunuhan bekas Perdana Menteri, Benazir Bhutto.

Sebelum ini, Musharraf didakwa gagal memberi perlindungankeselamatan ke atas pemimpin itu hingga menyebabkan beliau ditembak mati pada 2007. Susulan daripada keputusan tersebut, bekas jeneral tentera itu juga dilarang untuk bertanding dalam pilihan raya pada 11 Mei depan.

Laporan yang dipetik AFP,pada masa ini, Musharraf sedang menjalani tahanan rumah selama dua minggu di vila miliknya atas dakwaan melakukan khianat semasa beliau mengisytiharkan darurat di negara tersebut yang dijangka tamat Sabtu ini.