PKR desak KDN siasat kematian Dharmendran
N Surendran menunjukkan laporan patologi mangsa.
KUALA LUMPUR – PKR mendakwa kematian seorang tahanan, N Dharmendran, 32, di lokap Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL), dipercayai mempunyai unsur jenayah.

Naib Presiden PKR, N Surendran mendakwa mangsa, N Dharmendran, dipukul sehingga mati oleh anggota polis, namun tiada tangkapan atau tindakan penggantungan kerja ke atas mereka.
Katanya, keterangan perlu diambil daripada semua anggota polis  terlibat.

Beliau berkata, penahanan perlu dilakukan ke atas pegawai polis yang terlibat dan pendakwaan perlu dilakukan secepat mungkin ke atas individu terlibat.

“Kami desak Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) mengambil tindakan berhubung perkara ini.

“Ahli patologi sudah pun mengesahkan Dharmendran mati dalam tahanan polis kerana dipukul. Mengapa tiada yang ditahan?" katanya ketika ditemui di pekarangan Bukit Aman, semalam.

Katanya, laporan perunding patologi daripada Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Siew Sheue Feng pada 22 Mei lalu, mengesahkan Dharmendran meninggal dunia akibat kegagalan fungsi kecederaan tisu lembut akibat pukulan di badan.

Katanya, proses siasatan belum dilakukan selepas Lans Koperal Mohd Fairul Mohd Fauzi melaporkan kematian itu.

“ASP Chang Chin Song adalah pegawai yang merekodkan kenyataan sahaja dan tiada polis menyiasat kes itu,” katanya.

Beliau, bersama balu mangsa, Marry Mariay Susay, 26, dan empat orang ahli keluarga mendiang berserta dua wakil peguam, R Sivarasa dan Sivamalar Genapathy merekodkan keterangan bagi membantu siasatan.

Dharmendran, meninggal dunia selepas ditahan di IPKKL berikutan kejadian tembakan di Bandar Tun Razak pada 11 Mei lalu.