Manila: Gerila komunis meletupkan sebutir bom dan melepaskan tembakan ke arah sebuah trak membawa polis di utara Filipina semalam, menyebabkan tujuh daripada mereka maut dan tujuh lagi cedera.
Anggota polis elit Pasukan Tindakan Khas itu dalam perjalanan ke sebuah hospital untuk pemeriksaan perubatan rutin apabila pemberontak - yang menyorok dalam belukar di laluan berkenaan - meletupkan bom dan menembak kenderaan terbabit.
Ketua polis tempatan, Rodrigo de Gracia ketika ditemui media semalam, berkata, sebaik saja diserang, polis elit terbabit membalas tembakan tetapi gagal bertahan kerana jumlah gerila yang ramai.
“Pemberontak terbabit kemudian melarikan diri bersama senjata polis yang dibunuh,” katanya ketika ditemui. Serangan gerila sebegitu memang biasa dilakukan pemberontak Marxist sepanjang tempoh 44 tahun lalu dan menyebabkan kematian kira-kira 120,000 orang. Selain menghadapi tentangan komunis, kekuatan pasukan keselamatan Filipina dikekang oleh kempen antimilitan Islam di selatan Filipina.
Sabtu lalu, gerila Abu Sayyaf menembak mati tujuh anggota marin Filipina dalam pertempuran di Pulau Jolo dalam operasi kerajaan untuk menyelamatkan enam tebusan warga asing dan tempatan. Baru-baru ini kerajaan menggantung rundingan damai diusahakan Norway selepas pemberontak komunis menolak cadangan gencatan senjata serta-merta. De Garcia berkata, tujuh anggota polis elit itu berjaya melarikan diri dan diselamatkan tentera kerajaan di Hospital Perbandaran Ballesteros, kira-kira 400 kilometer di timur laut Manila. “Tentera kini membuat sekatan jalan raya dan menambah bilangan pasukan keselamatan bagi mengesan penyerang terbabit,” katanya ketika ditemui. - AP
No comments:
Post a Comment