Friday, June 21, 2013

Harga petrol, diesel di Indonesia naik esok

SEKUMPULAN pelajar Indonesia membaling batu ke arah polis dalam satu demonstrasi membantah kenaikan harga bahan api di Jakarta pada Isnin lalu.- AfP


JAKARTA - Indonesia akan melaksanakan kenaikan besar harga bahan api esok selepas isu tersebut mencetuskan perdebatan hangat sejak beberapa bulan lalu.
Kenaikan itu ekoran kos subsidi bahan api yang membebankan ekonomi Indonesia. Pada tahun lalu sahaja, pemerintah membelanjakan AS$20 bilion (RM64 bilion) untuk pemberian subsidi petrol dan diesel.
Pada tahun ini pula, Indonesia terpaksa mengimport lebih banyak minyak bagi memenuhi permintaan bahan api pada harga murah di negara itu.
"Pengumuman kenaikan harga bahan api akan dibuat selepas tengah malam hari ini dan berkuat kuasa serta-merta," kata Menteri Perindustrian M.S. Hidayat semalam.
Namun, selepas kenaikan tersebut iaitu 44 peratus untuk petrol dan diesel 22 peratus, harga petrol dan diesel di Indonesia masih kekal antara yang terendah di Asia Tenggara. Langkah itu menyusul selepas diluluskan oleh Parlimen pada minggu.
Parlimen Indonesia turut meluluskan insentif tunai kepada golongan miskin bagi melindungi mereka daripada impak kenaikan kos bahan api ke atas barangan keperluan lain.
Presiden Susilo Bambang Yudhoyono sebelum ini bertegas melaksanakan insentif tersebut sebelum beliau menandatangani dekri kenaikan harga bahan api itu. Namun, usaha Susilo gagal menenangkan orang ramai apabila beribu-ribu orang bertindak menunjuk perasaan di seluruh negara itu kerana membantah kenaikan tersebut.
Kenaikan harga petrol dan diesel itu juga selaras dengan komen Menteri Kewangan, Chatib Basri pada minggu ini bahawa defisit bajet akan mencecah 4 peratus keluaran negara kasar (GDP) jika subsidi itu tidak dikurangkan.
Sebelum ini defisit bajet diunjurkan pada 1.6 peratus daripada GDP. Susulan kenaikan tersebut, harga petrol di Indonesia dijangka melonjak daripada 4,500 rupiah (RM1.40) kepada (RM2) seliter manakala seliter diesel pula berharga 5,500 rupiah (RM1.70) berbanding 4,500 rupiah sebelum ini. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0621&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz2WnggRq00 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment