|
RIO DE JANEIRO - Sejumlah belia bertempur dengan polis di sini kelmarin selepas lebih 200,000 orang berhimpun di beberapa bandar raya utama di Brazil bagi membantah perbelanjaan berbilion-bilion dolar untuk Piala Konfederasi di samping kenaikan tambang pengangkutan awam.
Secara keseluruhannya, tunjuk perasaan yang terbesar di Brazil dalam tempoh 20 tahun itu berlangsung secara aman.
Penunjuk perasaan berang kerana pemerintah berbelanja besar sebagai persiapan untuk menganjurkan Piala Konfederasi dan Piala Dunia pada tahun depan.
Brazil merupakan tuan rumah kepada dua piala utama dalam sukan bolasepak itu.
Penduduk miskin dan golongan kaya di Brazil dipisahkan oleh jurang sosial dan ekonomi yang ketara.
Beberapa kes vandalisme dilaporkan di bandar raya ini dan Porto Alegre manakala seorang remaja berusia 18 tahun berada dalam keadaan stabil di Hospital Belo Horizonte selepas terjatuh daripada sebuah jejantas semasa menunjuk perasaan.
Polis menggunakan gas pemedih mata, penyembur lada dan peluru getah untuk menyuraikan sekumpulan belia bertopeng yang bertindak liar berhampiran dewan undangan negeri Rio.
Lima anggota polis cedera manakala sebuah kenderaan dibakar dalam kejadian tersebut.
Di tempat-tempat lain di bandar raya ini yang menjadi tuan rumah Piala Konfederasi, sekitar 100,000 orang berarak ke pusat bandar.
Di ibu kota Brazil, Brasilia pula lebih 200 belia menawan bangunan Kongres untuk seketika sebelum mereka beredar selepas dipujuk oleh pihak polis.
Tidak lama kemudian, sekitar 5,000 belia membentuk rantaian manusia di sekeliling bangunan tersebut.
Di bandar raya Sao Paulo, kira-kira 65,000 orang menyertai perarakan aman tanpa insiden kekacauan seperti yang berlaku dalam protes serupa minggu lalu.
"Bantahan aman dibenarkan di sisi undang-undang negara ini," kata Presiden Brazil, Dilma Rousseff.
Di beberapa tempat lain di Brazil, sekitar 30,000 penunjuk perasaan berarak di Belo Horizonte, 10,000 orang Curitiba dan 10,000 lagi di Belem.
"Saya berarak untuk menyatakan bahawa Brazil bukan hanya tentang bola sepak atau parti seperti tanggapan orang luar.
"Kami juga bimbang seperti kekurangan pelaburan dalam sektor penting, terutamanya kesihatan dan pendidikan," kata seorang peguam berusia 24 tahun di Rio, Daiana Venancio.
Terdahulu, Menteri Sukan, Aldo Rebelo memberi amaran bahawa pihak berkuasa tidak akan membenarkan penunjuk perasaan mengganggu kejohanan bola sepak antarabangsa di Brazil.
Protes itu juga diadakan bagi membantah tambang pengangkutan tren awam yang meningkat daripada AS$1.50 (RM4.70) kepada AS$1.60 (RM5) di Sao Paulo sejak 10 hari lalu.
Piala Konfederasi berlangsung dari 15 hingga 30 Jun ini manakala Piala Dunia 2014 pula bermula pada 12 Jun tahun depan. - AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0619&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2Wc9GDcEW
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment