Saturday, June 1, 2013

Skandal pemerolehan Al-Quran: Wakil rakyat Indonesia dipenjara 15 tahun

JAKARTA - Mahkamah Rasuah Indonesia menjatuhi hukuman penjara 15 tahun terhadap anggota parlimen yang digantung daripada Parti Golkar Zulkarnaen Djabar setelah didapati bersalah terbabit dalam skandal pemerolehan al-Quran.
  
Hukuman itu lebih berat berbanding penjara 12 tahun yang dipohon pihak pendakwaan. Zulkarnaen dituduh melakukan pindaan dalam tender pemerolehan nal-Quran dan peralatan makmal oleh Kementerian Agama.
  
Mahkamah itu juga menjatuhi hukuman penjara lapan tahun ke atas anak lelaki Zulkarnaen, Dendy Prasetya kerana membantu bapanya dalam skandal itu bersama seorang lagi ahli politik Parti Golkar, Fahd El Fouz yang menjadi broker antara dua beranak tersebut dan kementerian, lapor akhbar berbahasa Inggeris The Jakarta Post, pada Jumaat.
  
Zulkarnaen, Anggota Komisi VII Dewan Perwakilan Rakyat yang bertanggungjawab menyelia hal ehwal agama, dan anaknya, didapati secara bersama menyalah guna kuasa Zulkarnaen ketika perbincangan bajet bagi projek pemerolehan itu, justeru melanggar Perkara 12 Undang-undang No. 31/1999 mengenai Rasuah, kata panel hakim perbicaraan.
  
"Susulan campur tangan oleh kedua-dua defendan dan Fahd, proses pemerolehan di kementerian itu menjadi kurang cekap kerana bajet yang melonjak akibat pindaan pada tender bagi memanfaatkan syarikat terttentu," kata hakim Hendra Yospin ketika menyampaikan penghakimannya.
  
Panel hakim juga memutuskan dua beranak itu bersalah menerima rasuah berjumlah Rp 14 bilion (US$1.42 juta) daripada Abdul Kadir Alyadrus, Pengarah PT Sinergi Pustaka Indonesia dan Pesuruhjaya PT Adhi Aksara Abadi, sebagai dorongan kepada mereka untuk meminda proses bidaan projek, agar kedua-dua syarikat menang tender al-Quran terbabit.
  
Nilai projek pemerolehan al-Quran itu ialah Rp22 bilion pada 2011 dan Rp50 bilion pada 2012.
  
Selain dua projek pemerolehan al-Quran itu, Zulkarnaen dengan dibantu anaknya dan Fahd, juga meminta pegawai kementerian menawarkan projek membeli peralatan makmal bernilai Rp31.2 bilion kepada syarikat PT Batu Karya Mas, menurut laporan akhbar itu.
  
Zulkarnaen dan Dendy masing-masing menerima Rp3 bilion dan Rp4 bilion, manakala baki wang terbabit diserahkan kepada ahli politik Golkar termasuk Fahd. Turut didakwa menerima wang itu ialah Timbalan Speaker Dewan Perwakilan Rakyat Priyo Budi Santoso.
  
Selain hukuman penjara, mahkamah juga mengenakan denda Rp300 juta masing-masing terhadap Zulkarnaen dan Dendi atau dipenjara sebulan lagi. Kedua-duanya juga diperintah membayar balik Rp11.4 bilion berikutan kerugian yang dialami kerajaan akibat skandal itu.
  
Dua beranak itu akan memfailkan rayuan. - Bernama

No comments:

Post a Comment